PN Johor tidak terjejas dengan ‘usikan politik’ bersama UMNO
21/01/2021 04:50 PM
JOHOR BAHRU, 21 Jan — Perikatan Nasional (PN) Johor tidak terjejas sama sekali dengan ‘usikan-usikan’ politik yang mendakwa UMNO mahu memutuskan kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata setiausahanya Datuk Dr. Sahruddin Jamal.
Bagaimanapun, beliau berharap sebarang tindakan yang boleh mengganggu gugat permuafakatan antara satu sama lain dapat dihentikan atas dasar kerjasama yang terjalin sejak Mac tahun lalu.
Menurutnya, PN Johor juga kesal jika benar terdapat dakwaan daripada UMNO yang mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah jujur bekerjasama dengan mereka untuk membentuk gabungan berkenaan.
“(Malahan) ia (isu Bersatu tidak jujur dengan UMNO) tidak seharusnya timbul dalam kalangan parti-parti yang mendukung kerajaan semasa.
“Ini kerana di Johor contohnya, meskipun terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar susulan peralihan kerajaan pada tahun lalu, Bersatu kekal tenang dan terus berkhidmat serta menyokong pentadbiran kerajaan negeri yang ada pada hari ini,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Dr Sahruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong dan Setiausaha Bersatu Johor, berkata memang diakui terdapat beberapa perkara berbangkit dalam kalangan ahli Bersatu yang menimbulkan rasa tidak puas hati.
Namun, masalah itu tidak dilontarkan secara terbuka dengan dakwaan yang boleh menjejaskan hubungan baik sesama parti komponen.
“Adalah penting untuk kita saling bemuafakat dalam mengharungi cabaran, sekali gus mengelak mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan sesama kita,” katanya.
Beliau juga memberitahu dalam mendepani cabaran politik terutamanya PRU15 yang akan datang, tiada parti mampu mendabik dada hanya dengan pengalaman politik kerana pilihan raya kali ini sangat berbeza.
“Tiada parti berpengalaman berdepan dengan pilihan raya dalam keadaan demografi politik yang sepenuhnya berbeza.
“Ini dirumitkan lagi dengan cabaran yang dihadapi di seluruh dunia melibatkan ancaman COVID-19 yang melumpuhkan ekonomi,” katanya.
Justeru, Dr Sahruddin berkata pihaknya menyeru setiap parti komponen dalam gabungan PN untuk terus bermuafakat kerana perbalahan hanya akan menyukarkan penubuhan sebuah kerajaan.
“Mahu atau tidak, kita mesti bekerjasama untuk memastikan kita menang (PRU15),” katanya.