Guru wanita rugi RM27,550 ditipu lelaki mengaku polis

23/01/2021 12:06 PM

KUANTAN, 23 Jan — Seorang guru wanita membuat laporan polis kerana mengalami kerugian RM27,550 akibat diperdayakan lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berumur 57 tahun itu mendakwa dia dihubungi suspek lelaki mengaku sebagai pegawai polis Rabu lepas, yang memberitahu namanya digunakan bagi membuka sebuah akaun bank yang dikaitkan dengan aktiviti penggubahan wang haram.

“Wanita itu mendakwa telah menuruti arahan untuk memberikan maklumat peribadi dan perbankan kepada suspek, kononnya bagi tujuan siasatan kerana bimbang ditangkap jika tidak memberikan kerjasama kepada polis.



“Bagaimanapun selepas wanita itu memeriksa baki akaun banknya pada pagi semalam, dia mendapati ada banyak transaksi pemindahan wang secara atas talian daripada dua akaun bank miliknya ke akaun yang tidak dikenali,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata guru wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, kira-kira 220 kilometer dari sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak berkongsi maklumat peribadi dan perbankan menerusi panggilan telefon, termasuk kepada mereka yang memperkenalkan diri sebagai polis atau agensi kerajaan lain, sebaliknya membuat pemeriksaan terlebih dahulu di balai polis berhampiran.

Guru besar didakwa terima rasuah lebih RM6,000 pada 2014, 2015

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker