Polis siasat kes individu menyamar exco Perak minta pinjaman wang

23/01/2021 06:53 PM

IPOH, 23 Jan — Polis telah menerima laporan mengenai individu yang menyamar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya untuk meminjam wang menggunakan aplikasi WhatsApp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima aduan mengenai kes itu daripada kenalan exco Perak berkenaan di Balai Polis Bercham di sini, pada pukul 9.00 malam tadi.



Beliau berkata individu berkenaan dikatakan menyamar dengan menggunakan profil Datuk Shahrul Zaman dan cuba meminta sejumlah wang, namun gagal.

“Tiada kerugian dilaporkan, selepas pengadu rasa curiga kerana exco kerajaan negeri itu menggunakan nombor telefon lain yang bukan dalam simpanan telefon bimbitnya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pihak polis telah mengambil keterangan pengadu berusia 37 tahun itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan penipuan.

“Suspek menyamar sebagai kenalan seseorang untuk meminta wang, dan siasatan awal mendapati nombor telefon yang digunakan suspek pernah dilaporkan beberapa kali kepada pihak polis, menggunakan modus operandi yang sama sebelum ini,” katanya.



Hasbullah seterusnya meminta orang ramai berhati-hati dan membuat pengesahan yang jelas terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi wang apabila dihubungi menerusi nombor telefon yang tidak dikenali.

Sementara itu Shahrul Zaman yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Rungkup menerusi laman Facebook rasminya turut membuat kenyataan menafikan bahawa akaun WhatsApp yang menggunakan fotonya sebagai gambar profil itu adalah miliknya.

“Scammer (penipu) pakai gambar profil saya, menyamar jadi saya dan minta pindahkan duit, nombor 010-3865922 itu bukan nombor telefon bimbit saya. Mohon semua kawan-kawan berjaga-jaga,” katanya.

Beliau turut memuat naik gambar tangkap layar antara kenalannya itu bersama suspek yang menyamar sebagai beliau, yang meminta pinjaman wang berjumlah ribuan ringgit dengan menjanjikan projek berkaitan belia dan sukan sekiranya pinjaman diberikan.



Datuk nafi menyamar pegawai kanan polis

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button