Isu Norizam bersama FAM, MFL selesai


Photo Credit FB Football Association of Malaysia

23/01/2021 02:34 AM

KUALA LUMPUR, 22 Jan — Pertikaman lidah antara pemilik kelab bola sepak Kelantan (Kelantan FC) Norizam Tukiman dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akhirnya selesai menerusi satu pertemuan di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

FAM dalam hantaran terbaharu menerusi laman Facebooknya hari ini, memaklumkan pertemuan lebih sejam itu dihadiri Timbalan Presidennya Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Naib Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, Norizam serta wakil Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diketuai naib presidennya, Ahmad Muzakkir Hamid.

Perang mulut antara Norizam dengan FAM dan MFL sebelum ini dipercayai tercetus selepas terdapat laporan mendakwa Kelantan FC boleh dikenakan pemotongan tiga mata akibat masalah tunggakan gaji pemain, sekali gus menimbulkan tidak puas hati Norizam yang bertindak membidas badan induk bola sepak itu.

Stuart, bagaimanapun menafikan bahawa Kelantan FC bakal dipotong tiga mata.

Selain itu, Norizam turut dilapor membangkitkan beberapa isu termasuk bayaran hak penyiaran Liga Malaysia (Liga-M) serta elaun pengadil yang belum dibayar.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker