COVID: AFC batal beberapa kejohanan

25/01/2021 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini mengambil keputusan membatalkan beberapa kejohanan tahun ini sebagai langkah melindungi semua pihak berkepentingan susulan ketidakpastian dan risiko pandemik COVID-19.

Antara pertandingan tersebut adalah Kejohanan AFC Bawah-19 Tahun (B-19) yang dijadual di Uzbekistan dan B-16 di Bahrain.



Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John berkata pembatalan kedua-kedua kejohanan itu selaras dengan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan Piala Dunia B-17, dan B-20 tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua kejohanan B-19 dan B-16 berkenaan akan diteruskan pada 2023 dengan Uzbekistan dan Bahrain kekal menjadi tuan rumah.

Di samping itu, Bahrain akan menjadi tuan rumah Kejohanan Piala Asia (AFC) B-17 manakala Uzbekistan pula menjadi hos Kejohanan Piala Asia (AFC) B-20, kedua-duanya pada 2023.

AFC juga memutuskan untuk membatalkan Kejohanan Futsal AFC 2020 di Kuwait dan Bola Sepak Pantai Piala Asia 2021 di Thailand.



Kedua-dua negara tersebut akan menjadi hos edisi seterusnya masing-masing pada 2022 dan 2023.

“Kami menghargai dan berterima kasih atas sokongan tuan rumah yang bersetuju dengan AFC perlunya menjaga kepentingan semua pihak dalam keadaan tidak menentu dengan mempertimbangkan risiko pandemik semasa,” katanya dalam kenyataan.

AFC juga turut menjadualkan semula pusingan kelayakan Kejohanan Wanita Piala Asia 2022 B-20 dan Kejohanan Wanita Piala Asia B-17 2022.

Pusingan pertama B-20 telah ditangguh dari Mac kepada 14 hingga 22 Ogos manakala pusingan kedua kelayakan dari Ogos kepada 3 hingga 7 Nov.



Pusingan kelayakan pertama B-17 telah diubah dari April kepada 18 hingga 28 Sept dan pusingan kedua dari September kepada 8 hingga 12 Dis.

AFC tangguh pertandingan dalam bulan Mei dan Jun



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button