Hanya Chia-Soh penuhi jangkaan di Bangkok – Choong Hann
25/01/2021 07:52 PM
KUALA LUMPUR, 25 Jan — Selain pasangan beregu utama negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, prestasi pemain kebangsaan yang lain pada dua kejohanan Terbuka Thailand baru-baru ini adalah menghampakan, kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann.
Beliau berkata Chia dan Soh mempamerkan prestasi memberangsangkan pada Kejohanan Terbuka Thailand Yonex dari 12 hingga 17 Jan lalu dan Terbuka Thailand Toyota (19-24 Jan) di Bangkok, namun masih ada ruang untuk penambahbaikan.
“Satu permulaan yang baik untuk mereka tahun ini dan saya harap mereka akan lebih berkeyakinan dalam semua aspek. Berdasarkan perlawanan, kita boleh nampak masih banyak yang perlu mereka tingkatkan.
“Kita akan terus perbaiki perkara itu dan kemunculan semula kita di landasan yang betul,” katanya kepada Bernama hari ini.
Chia dan Soh tersingkir pada pusingan pembukaan Terbuka Thailand Yonex namun menebus kehampaan itu dengan permainan yang mantap pada Terbuka Thailand Toyota sebelum tewas 13-21 dan 18-21 di tangan pilihan keenam kejohanan, Lee Yang dan Wang Chi-Lin dari Taiwan pada perlawanan akhir semalam.
Pada masa sama, Choong Hann percaya pasangan beregu wanita M. Thinaah-Pearly Tan Koong Le serta beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See meraih pengalaman berharga semasa menentang pasangan beregu terkemuka dalam kedua-dua kejohanan tersebut.
“Kedua-dua pasangan beregu tersebut masih belum setanding dengan pasangan beregu utama lain dari segi kekuatan dan kepantasan tindakan taktikal. Kita perlu berikan lebih perhatian dalam latihan mereka,” katanya.
Beliau turut berharap pemain Malaysia yang layak ke saingan Jelajah Dunia Akhir HSBC BWF yang bakal diadakan di venue sama dari 27 hingga 31 Jan ini akan menebus kekecewaan pada dua kejohanan terbuka tersebut.
Pemain perseorangan utama Malaysia Lee Zii Jia, pasangan beregu Chia-Soh dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, serta beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai layak ke kejohanan penutup musim yang menawarkan hadiah keseluruhan US$1.5 juta itu.
Choong Hann didapati positif dalam saringan COVID-19 – BAM