PSM tegas tidak teruskan aksi Piala Juara-juara STL semasa PKP

Hebahkan !!!


Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail

25/01/2021 07:40 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) tetap dengan pendirian untuk menangguhkan kejohanan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata PSM tidak bercadang untuk meneruskan kejohanan itu walaupun PKP yang dilaksanakan di seluruh negara, kecuali Sarawak, dijadualkan tamat pada 4 Feb depan dan berkemungkinan akan dilanjutkan.

Biarpun PSM boleh mengemukakan rayuan bagi meneruskan saingan berkenaan, Ahmad Ismail berkata badan induk itu lebih mengutamakan keselamatan semua pihak terlibat tatkala ancaman pandemik COVID-19 semakin membimbangkan.

“PSM mempunyai alasan kukuh untuk merayu tetapi pihak pengurusan mendapati angka positif ketika itu (keputusan menangguhkan dibuat) amat mengejutkan jadi kami bimbang dan tidak mahu timbul kluster STL. Maka demi keselamatan pemain dan pegawai terlibat, kita tangguh.

“Walaupun penangguhan meningkatkan kos, duit boleh dicari, nyawa manusia mana boleh beli. Jadi, kita tunggu PKP tamat, jika sambung kita tetap tidak buat (teruskan), dengan angka positif harian kini sudah mencecah lebih 4,000 kes,” katanya kepada Bernama, hari ini.

PSM sebelum ini menangguhkan saingan Piala Juara-Juara STL yang berlangsung di Iskandar Puteri, Johor dari 10-16 Jan sebagai mematuhi arahan kerajaan berhubung pelaksanaan PKP di enam negeri bermula 13 hingga 26 Jan.

Namun, pada Selasa lepas kerajaan menguatkuasakan perintah itu di seluruh negara mulai 22 Jan hingga 4 Feb depan kecuali Sarawak yang dikenakan PKP Bersyarat (PKPB).

Pada masa sama, Ahmad Ismail mengakui keputusan menangguhkan seketika kejohanan itu pasti mengundang rasa tidak senang segelintir pasukan bertanding, namun beliau berharap semua pihak dapat memahami dan mengenal pasti keutamaan ketika ini.

“Sudah pasti apabila kita tangguh kejohanan, ia akan memberi sedikit masalah kepada sesetengah pasukan. Tapi adakah mereka lebih suka ia diteruskan supaya mereka tidak ada masalah, tetapi akhirnya jika ada salah seorang pemain terkena (jangkitan COVID-19) pada ketika itu, menyesal tidak berguna lagi.

“Jadi, saya memohon maaf kalau ada pasukan yang merasakan kita tidak patut tangguh dan teruskan sahaja,” katanya.

Saingan Piala Juara-Juara STL melibatkan enam pasukan terbaik Divisyen Premier STL iaitu juara musim ini, Kuala Lumpur Thunders, ATM Guardians, Johor Tigris, Negeri Sembilan Antlers, Kelantan Warriors dan Penang Black Panthers serta dua pasukan terbaik Divisyen Satu STL iaitu Bomba Fighters dan Putrajaya Cyborg.

Johor Tigris yang meraih kedudukan ketiga dalam saingan Divisyen Premier STL pada musim ini adalah juara bertahan Piala Juara-Juara STL.

Leave a Reply

%d bloggers like this: