ROY SAHKAN DIRINYA POSITIF COVID-19 TAHAP EMPAT

Penyanyi Roy yang sebelum ini dimasukkan ke wad di Hospital Banting, tengah malam Sabtu lalu akibat sesak nafas dan hasil pemeriksaan terdapat jangkitan kuman pada paru-paru itu mengesahkan dirinya positif Covid-19 tahap empat.

Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi, 57, difahamkan sudah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. Penyanyi lagu ‘Ratnaku’ itu berkata dia tabah menerima keputusan itu dan reda dengan ketentuan takdir ke atasnya.

“Ramai juga artis kena Covid-19 tanpa tahu mana puncanya dan macam itu jugalah dengan kisah saya. Apa lagi yang boleh dibuat, selain saya kena reda dan tawakal pada Allah.

“Ahli keluarga saya juga kini menjalani kuarantin di rumah sekarang, manakala restoran keluarga kami di Banting ditutup sementara,” katanya.

Roy yang memiliki vokal lantang yang lunak dan pernah menyertai Gegar Vaganza musim keenam pada 2019 itu menjalani ujian saringan Covid-19 selepas dimasukkan ke Hospital Banting akibat sesak nafas sebelum ini.

Menerusi laporan media, Roy memberitahu dia menangis dan terharu kerana ramai insan yang berhati mulia sudi menghulurkan sumbangan berbentuk wang bagi membantunya. Selain itu, tidak kurang juga ada yang mendoakan kesihatannya semoga dia kembali sembuh dan pulih semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *