NCER terajui pemulihan sosioekonomi di Perak

26/01/2021 11:17 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan — Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) meningkatkan usaha kerjasama dengan kerajaan negeri Perak untuk memacu pertumbuhan industri digital berasaskan pengetahuan dan industri kritikal lain yang terkesan dengan COVID-19 bagi memulihkan semula sosioekonomi negeri itu.

Hasrat ini boleh dicapai menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi, pelaburan strategik dan program modal insan bersepadu yang telah ditekankan dalam Pelan Pembangunan Strategik (SDP) 2021-2025 Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Silver Valley Technology Perak (SVTP) adalah projek pemangkin mampan yang akan menjadikan Perak sebagai peneraju Taman Teknologi Digital di Asia Tenggara,” katanya.

Kedudukan strategik SVTP yang terletak 15 kilometer daripada pusat bandar Ipoh, sekali gus telah menawarkan perhubungan logistik yang berkesan kerana mempunyai akses mudah ke lapangan terbang, lebuh raya, stesen kereta api dan pelabuhan darat.

SVTP adalah Technologi Enclave ‘Generasi Baharu’ yang mempunyai pengurusan taman berdedikasi yang tertumpu kepada aktiviti pembuatan bernilai tinggi dan ekonomi digital yang akan mentransformasi sosioekonomi Perak untuk manfaat rakyat dan menarik pelabur ‘generasi baharu.’

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata apabila beroperasi sepenuhnya kelak, SVTP dijangka menarik pelaburan swasta bernilai kira-kira RM14 bilion di samping mewujudkan 13,000 peluang pekerjaan dan paling utama, mengurangkan isu penghijrahan tenaga kerja berbakat ke negeri-negeri jiran.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat NCIA-Jawatankuasa Pemandu Negeri (JPN) untuk pertama kali hari ini, secara dalam talian.

Berdasarkan peningkatan permintaan dunia terhadap sarung tangan getah gred perubatan ketika ini, beliau berkata pelaburan daripada pemain industri getah di Bidor dan Tronoh bakal menyaksikan 9,364 pekerjaan baharu yang diwujudkan di Perak.

Pelaburan ini meliputi kerjasama penyelidikan dan perubatan dengan universiti tempatan untuk membangun dan mengkomersialkan produk nitril bergred perubatan bernilai tinggi dan meneroka penggunaan bahan alternatif terkini seperti grafin oksida dan kalsium karbonat untuk pengeluaran produk getah berteknologi tinggi

Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan NCIA bagi melaksanakan program pembangunan modal insan Fast-track seperti JomKerja@NCER dan JomNiaga@NCER bagi memastikan mereka yang diberhentikan kerja akibat pandemik akan dilatih dan dilengkapi dengan kemahiran berkaitan bagi membolehkan mereka menjadi lebih kompetitf dalam pasaran kerja, kata Saarani.

Sehingga akhir 2020, sebanyak 13 syarikat telah mengambil bahagian dalam JomKerja@NCER dan melabur hampir RM600 juta sekali gus mewujudkan hampir 1,000 pekerjaan untuk peserta program itu dalam sektor pembuatan, agrobio, pelancongan dan logistik.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker