Pusat Internet Komuniti pilihan terbaik bantu keperluan PdPR

Hebahkan !!!

27/01/2021 10:00 AM

Oleh Rozainah Abdul Rahim

IPOH, 27 Jan — Pusat Internet Komuniti (PIK) Malaysia, merupakan alternatif bukan sahaja kepada ibu bapa yang tidak mampu menyediakan gajet atau peranti untuk anak-anak mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), malah ia juga mempunyai akses internet yang kuat.

Tinjauan Bernama di PIK Kampung Tersusun Batu 8 di Tambun di sini semalam mendapati, inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu ternyata menjadi tumpuan para pelajar, yang memerlukan kemudahan komputer dan internet.

Pengurusnya Mazzita Abdul Razak berkata lebih menarik, pusat internet itu yang beroperasi bermula 9 pagi hingga 6 petang setiap hari sejak 2013, turut menyediakan kemudahan pinjaman komputer riba (netbook) untuk kegunaan pelajar sekolah di rumah.

“PIK ini sememangnya menjadi tumpuan para pelajar sekolah, lebih-lebih lagi sejak pelaksanaan PdPR tetapi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kurang mendapat kunjungan, kerana ibu bapa bimbang keselamatan anak-anak mereka.

“Mereka lebih memilih supaya anak-anak mereka belajar di rumah, namun para pelajar boleh meminjam komputer riba dari pusat internet ini untuk digunakan di rumah,” katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata sebanyak 200 komputer riba terdapat di PIK itu dan lebih 100 masih tersedia untuk dipinjamkan kepada mereka yang memerlukan, kerana selebihnya telah dipinjam oleh para pelajar dan pihak sekolah.

Menurutnya selain pinjaman komputer riba, sebanyak 20 unit komputer turut disediakan untuk kemudahan pengguna di PIK itu, selain penyediaan bilik mesyuarat untuk sesuatu organisasi atau syarikat mengadakan sesi ‘Zoom Meeting’.

Katanya orang ramai yang berminat mendapatkan semua kemudahan disediakan kerajaan itu boleh mengunjungi pusat internet tersebut atau menghubunginya di talian 010-3153073 untuk maklumat lanjut dan sebarang janji temu.

Seorang pelajar tingkatan empat dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Kinta Che Hafizal Farish, yang tinggal di kampung berkenaan berkata beliau mengunjungi PIK itu setiap hari, bagi mengikuti PdPR dan membuat rujukan internet.

Che Hafizal berkata kewujudan pusat internet itu sememangnya memberi banyak manfaat kepada para pelajar supaya tidak ketinggalan dalam pelajaran, terutamanya selepas penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan banyak sesi persekolahan secara bersemuka ditutup.

Sementara itu, seorang penduduk Rehan Ezanee Ahmad Tajuddin, 36, berkata beliau turut mendapatkan pinjaman sebuah komputer riba dari pusat internet berkenaan, untuk kegunaan dua anaknya masing-masing dalam darjah tiga dan tingkatan satu, untuk tujuan PdPR.

Beliau berkata walaupun kedua-dua anaknya Muhammad Ammar Zihnee Shamsudin, 9, dan Nur Alya Ezanee Shamsudin, 13, mempunyai telefon pintar, namun penggunaan komputer riba lebih memudahkan mereka menyiapkan kerja sekolah yang diberikan guru, menerusi aplikasi Whatsapp.

“Kami perlu menggunakan capaian internet sendiri pada komputer riba ini menggunakan data sendiri, namun ia amat berguna dan memudahkan anak-anak termasuk untuk mencetak nota dan kerja sekolah, berbanding menggunakan telefon pintar kerana skrin yang agak kecil,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed ketika dihubungi Bernama memberitahu, terdapat 66 buah PIK di Perak yang beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.

“Saya menyeru agar mereka yang mempunyai masalah untuk menjalankan PdPR kerana kekangan peranti mahupun talian internet, agar memanfaatkan fasiliti yang telah disediakan di PIK berhampiran mereka,” katanya.

Leave a Reply

%d bloggers like this: