‘Tonton dahulu, baru komen’


© Provided by Berita Harian Pengarah, Eoon Shuhaini bersama Azlee Khairi dan Ezzaty Abdullah ketika penggambaran drama Rahimah Tanpa Rahim. – Foto IG Eoon Shuhainifatin.farhana

KUALA LUMPUR: Judul drama rantaian terbaru arahan Eoon Shuhaini, Rahimah Tanpa Rahim terus diperkatakan netizen.

Dituduh gimik atau sengaja mahu mengumpan perhatian ramai, Eoon mempertahankan judul berkenaan dipilih kerana sesuai dengan jalan cerita dipaparkan.

“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu, perbincangan mengenai judul drama ini dibuat bersama TV3.



“Pada mulanya, saya mengaku TV3 mahu menukar judul itu. Stesen televisyen (TV) itu berpendapat ia akan menimbulkan salah faham.

“Tetapi sebagai pengarah, saya fikir judul itu sesuai dengan jalan ceritanya. Drama ini mengangkat kisah seorang wanita, Rahimah yang dilahirkan tanpa rahim.

“Kalau daripada sudut agama, rahim itu memiliki makna lebih besar iaitu penyayang,” katanya kepada BH Online.

Drama bersiri, Rahimah Tanpa Rahim menampilkan Puteri Aishah, Azlee Khairi, Hafidz Roshdi, Mustaqim Bahadon dan Ezzaty Abdullah.



Drama mengisi slot Akasia ini menemui penonton TV3 setiap Isnin hingga Jumaat mulai jam 7 malam, mulai Jumaat lalu.

Judul drama yang ‘catchy’ pantas dikongsi netizen, malah menjadi bualan dan bahan jenaka dalam laman sosial.

Dianggap kurang manis, topik mengenai rahim menjadi bahan atau subjek sembang netizen, hingga menimbulkan rasa kurang senang kaum wanita.

Tidak cukup itu, ada pihak menukar judul drama berkenaan menjadikannya berbaur lucah.



Eoon berkata, drama arahannya bukan berkisar kisah wanita dilahirkan tanpa rahim semata-mata.

“Sebaliknya, kisah seorang wanita yang membesar tanpa kasih sayang. Namun, Allah memberikan kasih sayang dari sudut yang lain,” katanya.

Eoon meminta orang ramai menonton drama yang sedang disiarkan TV3 itu sebelum memberi ‘hukuman’ atas kontroversi judul yang tercetus.

“Tengok dahulu, baru faham kenapa judul itu diberi. Sedangkan hadis ada menyebut, kita kena teliti dahulu daripada terus menghakimi sesuatu perkara,” katanya.



Eoon bagaimanapun mengaku bimbang mengulas mengenai kontroversi terbaru membabitkan buah tangannya itu.

“Saya tidak nafikan jadi takut. Apatah lagi, saya pernah melalui pengalaman disihir disebabkan drama Love You Mr Arrogant.

“Jadi, boleh dikatakan, saya fobia… Hendak cakap pun takut,” katanya,

Namun, Eoon menganggap apa yang berlaku sekadar ujian.



“Saya berharap penonton boleh menerima drama ini dengan baik. Ini adalah sebuah drama berat,” katanya.

Rahimah Tanpa Rahim mengangkat masalah wanita yang dilanda masalah keluarga dan cinta serta pada masa sama, mengalami sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH).

Sindrom MRKH adalah keadaan wanita dilahirkan tanpa memiliki rahim dan saluran vagina serta tidak boleh hamil.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button