Hakim kanan diminta menghadap Jawatankuasa Etika 4 Feb


© Provided by Free Malaysia Today Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dipanggil untuk hadir di hadapan Jawatankuasa Etika Hakim atas isu satu afidavit dan penghakiman yang diputuskannya Jun lalu.

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Etika Hakim meminta hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer hadir di hadapan mereka pada 4 Feb.

Ini berlaku beberapa hari selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan penundaan semakan kehakiman untuk menghalang jawatankuasa itu daripada mengadakan perbicaraan tertutup berkaitan satu afidavit dan penghakiman.

Pada 21 Jan, hakim Mariana Yahya juga mengizinkan permohonan jawatankuasa tersebut untuk membatalkan saman pemula Hamid, yang berkait rapat dengan keputusan yang dicari dalam permohonan semakan kehakiman tersebut.

Peguam Hamid, Wilson Joy Appukuttan, mengesahkan dengan FMT bahawa dia menerima surat pada Selasa yang meminta anak guamnya muncul di hadapan mereka pada 3 petang 4 Feb.

Wilson berkata, dia sudah mengemukakan notis rayuan berhubung kedua-dua perkara itu – penundaan semakan kehakiman dan saman pemula – minggu lalu.

“Hari ini (Rabu), kami juga memfailkan permohonan penangguhan prosiding di hadapan jawatankuasa tersebut sehingga Mahkamah Rayuan mendengar dan melupuskan permohonan penundaan untuk semakan kehakiman tersebut,” katanya, sambil menambah, permohonan tersebut akan didengar di hadapan Mariana pada 2 Feb.

Mariana sebelum ini telah membenarkan penangguhan interim untuk Hamid, yang dijadualkan hadir di hadapan jawatankuasa tersebut pada 25 Nov, sebanyak dua kali.

Dalam isu semakan kehakiman, Hamid mahu sebuah deklarasi bahawa prosiding tertutup itu tidak rasional, dan bertentangan dengan peraturan keadilan semula jadi dan perlembagaan.

Dia juga mahukan deklarasi bahawa jawatankuasa itu, yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, telah bertindak bertentangan dengan perlembagaan dalam merangka tuduhan terhadapnya, dan bahawa tuduhan tersebut harus diisytiharkan batal dan tidak sah.

Mengenai saman pemula, Hamid memohon arahan berkaitan afidavit dan penghakiman yang diputuskannya dalam sebuah kes rayuan jenayah.

Hamid, yang akan bersara tahun ini, mengajukan persoalan sama ada keputusannya Jun lalu boleh disiasat oleh jawatankuasa tersebut.

Dia juga bertanya sama ada afidavit yang disahkannya pada 2019 untuk menyokong tuntutan yang difailkan oleh peguam Sangeet Kaur Deo boleh diteliti oleh jawatankuasa tersebut.

Jawatankuasa tersebut kemudian memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan itu.

Tiga tahun lalu, Hamid mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam beberapa kes berprofil tinggi. Sangeet kemudian mengemukakan tuntutan terhadap ketua hakim pada awal 2019, menuduhnya gagal mempertahankan dan memelihara integriti badan kehakiman.

Pada Ogos, FMT melaporkan bahawa jawatankuasa itu telah mengeluarkan notis tunjuk sebab buat Hamid mengenai afidavit dan penghakiman tersebut.

Hamid, antara lainnya, menyatakan dalam penghakiman itu bahawa badan kehakiman diharapkan bertindak sebagai pemeriksa semak dan imbang untuk badan eksekutif dan perundangan, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Projek solar hibrid: Mahkamah tolak permohonan ahli perniagaan untuk penghakiman terus

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker