Pasar Besar Port Dickson terbakar, peniaga terjejas


© Provided by Free Malaysia Today Sebahagian bangunan Pasar Besar Port Dickson musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebahagian bangunan Pasar Besar Port Dickson, Negeri Sembilan musnah dalam kebakaran awal pagi tadi membabitkan bahagian sebelah kiri pintu masuk utama premis itu.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira 3 pagi mengakibatkan sekurang-kurangnya empat peniaga terjejas selepas premis mereka musnah dijilat api.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mohammad Rosman Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 3.26 pagi tadi.

Katanya, sebuah jentera bersama 10 anggota bergegas ke lokasi kebakaran dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengawal api sebelum dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian.

“Kebakaran di bangunan Pasar Besar Port Dickson memusnahkan kira-kira 30% premis membabitkan empat penyewa gerai sayur dan bunga,” katanya.

Rosman berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian di bangunan premis jenis struktur kekal dua tingkat berkeluasan 20 x 60 kaki persegi.

“Bomba kini sedang menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian,” katanya.

Leave a Reply