Anak bulan Syawal kelihatan di satu daripada 29 lokasi

KUALA LUMPUR: Sambutan Aidilfitri hari ini diputuskan selepas anak bulan Syawal disahkan kelihatan di satu daripada 29 lokasi cerapan rasmi semalam.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, berkata penetapan tarikh itu seperti yang diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dibuat walaupun ia di luar kriteria Imkanurrukyah (kaedah rukyah serta hisab).

“Pada tanggal 29 Ramadan, rombongan Jawatankuasa Rukyah Hilal Syawal melakukan cerapan di 29 tempat cerapan di seluruh Malaysia. Hilal (anak bulan) disahkan kelihatan di salah satu lokasi cerapan rasmi di Malaysia.

“Kesimpulannya, hilal Syawal kelihatan pada tarikh cerapan walaupun di luar kriteria Imkanurrukyah yang diguna pakai. Maka, awal Syawal ditetapkan pada 2 Mei 2022 sebagaimana pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan menjelaskan berhubung penetapan tarikh 1 Syawal.

Anhar berkata, Imkanurrukyah yang diamalkan oleh Malaysia dan negara serantau seperti Indonesia, Brunei serta Singapura adalah hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat.

Jelasnya, syarat itu ialah ketika matahari terbenam tinggi hilal tidak kurang tiga darjah dan elongasi matahari bulan tidak kurang 6.4 darjah.

“Berdasarkan ini, apabila kedudukan hilal memenuhi kriteria yang ditetapkan pada tanggal 29 haribulan hijrah, maka keesokannya dianggap sebagai permulaan bulan baharu. Jika tidak keesokannya digenapkan menjadi 30 haribulan.

“Bagaimanapun, apabila sudah jelas kelihatan hilal walaupun di luar kriteria Imkanurrukyah oleh saksi yang adil, maka pemerintah bertanggungjawab menyiasat dan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak kesaksian terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kriteria Imkanurrukyah dibangunkan berdasarkan pemerhatian yang berterusan terhadap data dan rekod kenampakan hilal di seluruh dunia.

“Ia adalah kaedah alternatif menurut ilmu falak dalam membentuk satu takwim hijrah yang sistematik dan saintifik serta tidak bertentangan dengan kehendak syarak termasuk dalam menentukan permulaan Ramadan serta Syawal.

“Bagaimanapun, permulaan Ramadan dan Syawal di Malaysia adalah tertakluk kepada pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” katanya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam tadi mengumumkan umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri hari ini.

Penetapan itu dibuat hasil aktiviti cerapan anak bulan yang dilaksanakan di 29 lokasi di seluruh negara petang semalam.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker