Amarjit Singh dicalon sebagai Presiden ACC penggal 2021-2025


Datuk Amarjit Singh Gill (Gambar fail)

27/01/2021 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersetuju menamakan naib presidennya Datuk Amarjit Singh Gill sebagai calon Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) bagi sesi 2021-2025.

Keputusan sebulat suara itu dicapai menerusi Mesyuarat Exco PKBM yang dipengerusikan Presidennya Datuk Abu Samah Abd Wahab secara dalam talian hari ini.

Menurut Abu Samah, keputusan mencalonkan Amarjit memandangkan bapanya Tan Sri Darshan Singh Gill pernah menerajui ACC dari 2001 hingga 2010, selain percaya dengan pengalaman luas dalam pentadbiran sukan berbasikal di peringkat kebangsaan dan Asia yang dimiliki Amarjit.

“Memang ini satu lakaran sejarah yang sangat unik kepada Malaysia. Saya amat berharap Amarjit akan memenangi pertandingan Presiden ACC bagi penggal 2021-2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) turut memaklumkan pencalonan Amarjit mendapat sokongan daripada kebanyakan negara ASEAN termasuk Presiden Persatuan Berbasikal Thailand (TCA) Jeneral Decha Hemkasri.

Sementara itu, Amarjit berterima kasih kepada PKBM kerana mencalonkan namanya untuk jawatan Presiden ACC bagi penggal 2021–2025, sambil memaklumkan beliau adalah individu pertama menyerahkan borang pencalonan bagi jawatan berkenaan.

“Ini bukti komitmen tinggi daripada saya. Saya juga gembira kerana PKBM telah mengesahkan pencalonan saya.

“Ini sangat penting kerana ia bukti saya diterima sepenuhnya di peringkat nasional. Calon presiden ACC mesti disahkan oleh persatuan kebangsaan negara asal dan bukannya dicalonkan oleh negara lain,” katanya.

Amarjit bukanlah nama asing dalam pentadbiran sukan berbasikal di peringkat antarabangsa kerana beliau adalah salah seorang ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berpangkalan di Aigle, Switzerland, selain Bendahari ACC.

Leave a Reply