Polis tahan 2 suspek, buru Muhammad Putra Abdullah

Klang: Dua lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes pukul seorang pemandu lori kontena yang terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan seorang budak perempuan berusia sembilan tahun terbunuh dekat Kampung Telok Gong di sini, pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata kedua-dua suspek lelaki yang ditahan itu berusia 38 tahun yang mana salah seorang daripadanya mempunyai rekod lampau dadah.

“Sehingga hari ini (semalam), dua lelaki ditahan dan seramai enam orang saksi dipanggil untuk membantu siasatan kes ini.

“Pegawai penyiasat dalam proses melengkapkan siasatan dan seterusnya akan merujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh masa yang terdekat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terbabit termasuk seorang lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Putra Abdullah berusia 31 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek dan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Hoong Fong dalam kenyataan pada Khamis lalu memberitahu polis menerima satu laporan daripada pemandu lori kontena berusia 36 tahun yang mendakwa dipukul beberapa lelaki selepas kemalangan itu berlaku.

Terdahulu, media melaporkan kemalangan itu berlaku ketika dua beradik, Nurul Jannatun Assyifa Muhammad Jamathir,9 dan Alif Zahfran,7 dalam perjalanan pulang dari sekolah dengan membonceng motosikal bersama wanita berusia 54 tahun iaitu pengasuh yang juga jiran mereka.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker