COVID-19: Thailand rekod 756 kes baharu, sifar kematian

c99b9666367daf2cd2ebef780ccba99f600d3a8ab7da4


Dr Apisamai Srirangsan

28/01/2021 07:44 PM

Oleh Linda Khoo Hui Li



BANGKOK, 28 Jan — Thailand merekodkan 756 kes baharu dan sifar kematian sepanjang tempoh 24 jam yang lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu 16,221 dengan 76 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata daripada 756 kes baharu itu, 746 adalah jangkitan tempatan – 724 kes melalui pengesanan kes aktif termasuk 710 pekerja migran dan 14 warga Thailand manakala 22 kes adalah pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital dan 10 lagi kes import.

“Penularan wabak terbaru di negara ini sejak pertengahan Disember merebak ke 63 wilayah. Bagaimanapun, 47 wilayah tiada kes baharu dalam tempoh tujuh hari yang lalu,” katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Apisamai berkata Samut Sakhon, wilayah di mana wabak itu bermula pada pertengahan Disember mencatatkan 8,080 kes COVID-19.



Sementara itu, Thailand akan terus mengkaji keberkesanan ekstrak herba tempatan, fah talai jone (Andrographis Paniculata) selepas terbukti berkesan memulihkan keadaan pesakit COVID-19 semasa ujian klinikal.

Ketua Pengarah Jabatan Perubatan Tradisional dan Alternatif Thailand (DTAM), Dr Amporn Benjapholpitak berkata kajian rintis yang dijalankan mengenai penggunaan ekstrak fah talai jone bagi merawat pesakit, yang diuji positif COVID-19 dalam tempoh 72 jam menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

Beliau berkata kajian yang dijalankan oleh DTAM, Fakulti Perubatan Hospital Siriraj, Institut Penyelidikan Chulabhorn, Jabatan Sains Perubatan, Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan di Hospital Samut Prakan menunjukkan keadaan pesakit bertambah baik pada hari ketiga selepas mengambil 180 miligram ekstrak setiap hari.

“Gejala mereka seperti batuk, sakit tekak, kahak, hidung berair, sakit otot dan sakit kepala beransur-ansur bertambah baik. Tiada kesan sampingan ditemui – hati dan buah pinggang mereka berfungsi secara normal,” katanya, memetik Bangkok Post.



Beliau menambah kajian fasa kedua akan merangkumi keberkesanannya dalam merawat pesakit COVID-19 serta kaedah rawatan standard.

COVID-19: Jangkitan sifar tempatan kali kedua di Malaysia



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button