Mendiang Venglos merupakan bapa kepada kami, kata bekas anak buah

27/01/2021 04:44 PM

Oleh R. Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Bekas jurulatih kebangsaan dan Kuala Lumpur Dr Jozef Venglos yang meninggal dunia semalam, merupakan seorang yang bersifat kebapaan dan menerapkan kaedah latihan moden dalam liga tempatan, kata bekas anak didiknya.



Persatuan Bola Sepak Slovak mengesahkan perkara itu menerusi laman webnya tanpa menyatakan punca kematian bekas peneraju bola sepak berusia 84 tahun berkenaan.

Warga Slovakia itu dilantik sebagai jurulatih City Boys pada 1985 oleh Allahyarham Tan Sri Elyas Omar yang merupakan Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, sebelum diberi tanggungjawab membimbing skuad negara Harimau Malaya dari 1986 hingga 1987.

Ketika bersama pasukan kebangsaan, beliau membimbing Harimau Malaya untuk muncul juara Pestabola Merdeka pada 1986, namun mereka gagal meneruskan saingan di Sukan Asia Seoul pada tahun sama apabila tersingkir pada peringkat kumpulan.

Bekas ketua pasukan Kuala Lumpur dan juga pemain kebangsaan Tang Siew Seng yang bermain untuk City Boys selama lebih sedekad, berkata Venglos memainkan peranan utama dalam transformasi skuad itu menjadi sebuah pasukan bola sepak yang moden, iaitu legasi yang ditinggalkan mendiang meskipun hanya bersama pasukan tersebut kira-kira dua tahun.



“Berlatih di bawah bimbingan Venglos merupakan satu pengalaman berharga. Kaedah beliau amat mudah pada peringkat permulaan, tidak mengelirukan kami dan sikap mesra beliau menyebabkan pemain sangat menghormatinya,” kata Tang yang mewakili negara pada Sukan Asia 1982.

“Pendekatan beliau yang tidak gopoh serta santai menyebabkan pasukan cepat mesra dengan beliau, apatah lagi beliau juga mempamerkan sifat-sifat kebapaan. Semua itu menyebabkan kami mudah menerima kaedah yang beliau diterapkan serta meraih pengetahuan berharga yang membantu kami muncul juara divisyen satu pada 1986.

“Apabila beliau menerima tugas sebagai jurulatih kebangsaan selepas musim 1986, mendiang meninggalkan satu legasi serta pemahaman tentang permainan bola sepak yang membantu kami mencipta lebih banyak kejayaan selepas itu (termasuk tiga kejuaraan Piala Malaysia secara berturut-turut bermula 1987),” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, bekas pemain pertahanan K. Gunalan yang bermain di bawah bimbingan Venglos dalam Harimau Malaya dan juga Kuala Lumpur, berkata mendiang mempunyai keyakinan terhadap pemain muda dan membentuk asas yang kukuh untuk City Boys mencipta pelbagai kejayaan pada lewat 1980-an.



“Mendiang merupakan individu yang bertanggungjawab mengubah skuad KL menjadi satu pasukan moden selain menjayakan pembangunan pemain muda. Saya seorang daripada mereka (pemain muda),” katanya.

“Beliau bagaikan seorang bapa kepada kami, namun apabila membabitkan latihan, beliau tegas dan menekankan pentingnya menepati masa. Saya fikir pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada komuniti bola sepak di seluruh dunia kerana mendiang pernah menyumbang bakti di banyak negara,” kata jurulatih pasukan bawah 21 tahun Petaling Jaya City FC itu.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, masing-masing menyampaikan ucapan takziah atas kematian Venglos, menerusi media sosial.

Selepas tempoh bersama pasukan kebangsaan berakhir, Venglos kembali ke tanah airnya untuk membimbing skuad negara itu (Czechoslovakia) ke suku akhir Piala Dunia 1990 di Itali yang disusuli dengan perpindahan bersejarah beliau ke Aston Villa FC.



Beliau merupakan pengurus pertama yang lahir di luar Britain atau Ireland yang ditugaskan membimbing sebuah pasukan dalam divisyen utama di England.

Sepanjang kariernya, Venglos pernah menerajui skuad kebangsaan Australia, Czechoslovakia, Slovakia dan Oman, selain pasukan kelab seperti FC Prague Sydney, New South Wales, Slovan Bratislava, Fenerbahce dan Celtic.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button