Simon Pablo mahu KL United jelaskan laporan kesahihan lesen kejurulatihan

27/01/2021 06:52 PM

PETALING JAYA, 27 Jan — Jurulatih kelahiran Chile, Elissetche Correa Simon Pablo akan mendapatkan penjelasan daripada pengurusan Kuala Lumpur United FC (KL United FC) berhubung laporan media mendakwa lesen kejurulatihannya tidak diiktiraf Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menurut peguam, mewakili Simon, Mohd Zhafri Aminurashid, anak guamnya juga akan mendapatkan penjelasan daripada sebuah media tempatan kerana laporan itu menjejaskan reputasi Simon selaku jurulatih bola sepak sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kredibiliti pengendali berusia 43 tahun itu.

Pada sidang media yang turut dihadiri Simon, di sini hari ini, Mohd Zhafri turut mengesahkan pihaknya akan membawa isu berkenaan kepada Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan (NDRC) Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),



Selain itu, Mohd Zhafri berkata tindakan itu bagi menuntut kos hampir RM30,000 dikeluarkan sendiri oleh Simon sejak tiba di negara ini pada 22 Dis lalu, termasuk menjalani proses kuarantin, penginapan dan sebagainya setelah ditawarkan kontrak untuk melatih KL United FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021.

Beliau menegaskan kes tersebut akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan sekiranya gagal memperoleh keputusan yang memuaskan daripada NDRC.

Dalam pada itu, Simon memaklumkan beliau telah mendapat surat daripada AFC dan FAM yang mengesahkan ketulenan lesen kejurulatihannya bagi membolehkan beliau menjadi jurulatih dalam saingan Liga-M musim ini.

Beliau, yang fasih berbahasa Indonesia, mengakui laporan artikel berkenaan telah menjejaskan kredibilitinya selaku jurulatih sehingga memberi gambaran yang tidak baik kepada dirinya dalam bidang bola sepak.



“Pada 11 Jan 2021, AFC mengeluarkan surat pengesahan lesen yang mengesahkan saya adalah berkebolehan dan kompeten untuk menjadi jurulatih selari dengan Artikel 3 Pengikitirafan Pengalaman dan Kompetensi Semasa.

“Saya juga dengan ini menyatakan FAM telah mengesahkan ketulenan surat pengesahan dikeluarkan AFC, dan mengesahkan saya adalah kompeten menurut Sijil Kejurulatihan Diploma Profesional AFC. Jadi isu saya tidak memiliki sijil kejurulatihan diiktiraf AFC dan FAM adalah tidak benar sama sekali,” kata Simon.

Sebelum ini, Simon dilantik sebagai ketua jurulatih KL United FC bagi saingan Liga-M 2021, namun pengurusan pasukan berkenaan memutuskan untuk menggantikan Simon dengan bekas ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 19 (B-19), Bojan Hodak dengan kontrak dua tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KL United FC Stanley Bernard menafikan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan seperti didakwa media berkenaan pada 10 Jan lalu bahawa lesen kejurulatihan Simon tidak diiktiraf oleh AFC dan FIFA.

Stanley turut memaklumkan KL United FC tidak boleh menunggu keputusan ketulenan lesen kejurulatihan Simon daripada AFC dan FAM yang boleh mengambil masa yang lama, sekali gus bakal menjejaskan persiapan skuad warga kota menghadapi saingan Liga-M 2021 pada 26 Feb ini.

Namun, Liga Bola Sepak Malaysia baru-baru ini, memutuskan untuk menunda sepak mula Liga-M 2021 kepada 5 Mac susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kecuali Sarawak sehingga 4 Feb ini.

Bernama hari ini sudah menarik balik laporan artikel berkenaan yang dikeluarkan menerusi laman sesawang mereka, sebelum ini.

Laporan tersebut yang merujuk lesen kejurulatihan Simon tidak diiktiraf oleh AFC dan FAM telah dirumuskan sendiri oleh wartawan media berkenaan tanpa merujuk kepada Stanley.

PDRM JANJI AKAN SIASAT KES DENGAN TELUS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker