Suami isteri didakwa dagang, cederakan amah
© Provided by Berita Harian Pengusaha besi buruk, Lim Tuan Ann (kanan) dan isteri, Lim Siew Lan. – NSTP/Eizairi Shamsudinfarahamrshita
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri didakwa di empat Mahkamah Sesyen berasingan di sini, hari ini, atas enam pertuduhan memperdagangkan dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Pengusaha besi buruk, Lim Tuan Ann, 42, serta isterinya, Lim Siew Lan, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.
Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin, Hakim Mahyon Talib, Hakim Izralizam Sanusi dan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Tuan Ann serta Siew Lan masing-masing didakwa memperdagangkan bagi eksploitasi pengabdian dan pengabdian menggunakan kekerasan terhadap mangsa berusia 26 tahun di rumah mereka di Taman Batu, Sentul, di sini, pada 24 November 2020.
Mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Di tiga Mahkamah Sesyen lain pula, Siew Lan didakwa atas empat lagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah, antaranya menggunakan air panas, terhadap mangsa di lokasi sama antara 1 Ogos dan 13 November 2020.
Bagi keempat-empat kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 325 serta Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebat.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Zulkefli dan Mohamad Shahrizzat, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, R Sivaraj.
Mahkamah kemudian membenarkan Tuan Ann dan Siew Lan masing-masing diikat jamin RM12,000 serta 48,000 dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Februari ini untuk sebutan semula kes.
November lalu, media melaporkan mangsa didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan.
Hasil serbuan, polis menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan isterinya berumur 41 tahun, selain merampas pisau, gunting, kerusi serta periuk dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.
Siasatan awal mendapati mangsa bekerja di rumah suspek sejak 13 bulan lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Sebabkan kematian suami: Wanita warga Britain dipenjara 42 bulan dan didenda RM10,000