Bursa Malaysia dijangka alami dagangan berhati-hati minggu depan

30/01/2021 11:05 AM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 30 Jan — Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan dalam keadaan berhati-hati minggu depan, didorong oleh sentimen bercampur-campur terhadap prospek ekonomi serantau dan global.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata pasaran tempatan dijangka menyaksikan dagangan lengang pada minggu yang singkat itu susulan cuti, dengan dagangan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mungkin pada prestasi berjajaran kecil.



Beliau berkata paras rintangan semasa dilihat pada 1,600 mata manakala paras sokongan segera pada 1,560 mata.

“Selain itu, keseluruhan sentimen agak suram susulan ketegangan geopolitik baharu selepas China memberi amaran kepada Taiwan bahawa percubaan mendapatkan kemerdekaan dari China boleh bermaksud ‘perang’,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengumuman Moody’s Investors Service pada Khamis yang mengulangi unjuran penarafan stabil untuk Malaysia, dapat meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pengurusan fiskal negara.

Pada Disember lepas, Fitch Ratings menurunkan penarafan terhadap Malaysia.



“Jadi, penarafan terkini itu adalah bukti mengenai pengurusan kedudukan fisikal oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu, Adam berkata peningkatan ketara kes COVID-19 pada Jumaat ke paras tertinggi baharu terus menarik minat terhadap kaunter sarung tangan getah, yang meningkat 10 hingga 13 peratus dari segi permodalan pasaran FBM KLCI.

“Namun, sebarang langkah mendadak untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh menimbulkan reaksi mengejut dalam pasaran,” katanya.

Beliau juga berkata sekatan ke atas dagangan runcit saham seperti GameStop serta perbincangan mengenai perkembangan lanjut rangsangan fiskal Amerika Syarikat di dalam Senat juga mempengaruhi suasana di Asia.

“Sebenarnya di Bursa, kaunter sarung tangan getah mencatatkan prestasi amat baik dalam keadaan gesaan di media sosial supaya membeli daripada penjual singkat. Penekanannya adalah harga saham, terutama syarikat sarung tangan, telah mengalami penurunan pada beberapa bulan lepas meskipun syarikat-syarikat ini melaporkan kenaikan keuntungan.

“Oleh itu, kaunter sarung tangan mendapat permintaan tinggi pada Jumaat, mendorong harga saham meningkat lebih tinggi susulan gesaan yang dibuat oleh kalangan pelabur yang tidak diketahui menerusi media sosial supaya membeli daripada penjual singkat,” katanya.

Beliau berkata ketika kaunter sarung tangan getah mencatatkan kenaikan ketara minggu ini, saham lain kebanyakannya pula mengalami penurunan berikutan kebimbangan bahawa pelabur runcit mungkin menumpukan saham lain yang juga sebahagian daripada indeks komposit itu.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI yang menjadi penanda aras pasaran susut 30.34 mata kepada 1,566.44 daripada 1,596.74 minggu lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas turun 199.81 mata kepada 11,363.81, Indeks FBMT 100 merosot 189.83 mata kepada 11,104.93, FBM 70 kurang 154.34 mata kepada 14,747.34, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 861.09 mata kepada 12,187.86 namun Indeks FBM ACE meningkat 274.93 kepada 11,032.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 421.54 mata kepada 14,464.06 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri kurang 8.16 mata kepada 169.19 manakala Indeks Perladangan susut 125.27 mata kepada 7,097.89.

Indeks Tenaga menguncup 40.93 mata kepada 793.14, Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 48.06 mata pada 3,597.85 dan Indeks Teknologi meningkat 1.32 mata kepada 81.96.

Bagi minggu ini, jumlah dagangan mingguan berkurangan kepada 25.57 bilion unit bernilai RM21.23 bilion daripada 33.18 bilion unit bernilai RM22.61 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 15.34 bilion saham bernilai RM17.64 bilion daripada 18.94 bilion saham bernilai RM17.51 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.04 bilion unit bernilai RM320.29 juta daripada 1.98 bilion unit bernilai RM315.38 juta pada minggu lepas.

Jumlah dagangan ACE pula turun kepada 8.19 bilion saham bernilai RM3.26 bilion daripada 12.25 bilion saham bernilai RM4.78 bilion.

Jumlah dagangan luar China meningkat 13.6 peratus

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker