COVID: Seorang rakyat Malaysia antara 23 kes import tidak bergejala di Singapura pada Jumaat

30/01/2021 11:21 AM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 30 Jan — Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 27 tahun adalah antara 23 kes import baharu COVID-19 tidak bergejala yang dilaporkan di Singapura pada Jumaat, demikian menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Menurut data penuh kementerian yang dikeluarkan di sini lewat malam tadi, lelaki pemegang permit kerja itu tiba dari Malaysia.

Setakat tengah hari semalam, Singapura mencatatkan sebanyak 24 kes baharu yang diimport dengan 23 kes tidak bergejala manakala satu kes mengalami gejala.

Kes lain yang diimport adalah dari India, Indonesia, Myanmar, Sepanyol, Filipina, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ukraine.

Republik itu melaporkan tiada jangkitan COVID-19 tempatan pada Jumaat sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 59,449.

Kementerian juga memaklumkan bahawa telah selesai menjalankan operasi saringan khas terhadap pekerja yang bertugas dari 31 Dis 2020 di Jewel Changi Airport dan kedai serta tempat makan awam di Terminal 3, Lapangan Terbang Changi.

Ia adalah langkah pencegahan setelah penjujukan genom keseluruhan dan analisis filogenetik yang dikendalikan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan mendedahkan bahawa tiga kes COVID-19 yang dilaporkan sebelum ini telah diuji positif bagi varian B117 dan mungkin mempunyai kaitan.

“Keseluruhannya sebanyak 409 kakitangan diuji dan semua hasilnya negatif jangkitan COVID-19,” menurutnya.

Dilaporkan terdapat sebanyak 25 kes varian B117 telah dikesan di Singapura pada 26 Jan lepas, antaranya melibatkan lima kes komuniti dan 20 kes import dari Eropah.

Varian B117 yang ditemukan di United Kingdom dikatakan lebih berbahaya berbanding strain Coronavirus sedia ada.

Leave a Reply