Senoi Praaq berintegriti tinggi, digeruni penyeludup

Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar (Gambar fail)

30/01/2021 08:47 AM

Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar (Gambar fail)

Oleh Mohd Norzaidi Arjunaidi

KUALA LUMPUR, 30 Jan — Mereka tidak gentar akan sebarang ancaman malah amat berkemahiran dalam ilmu hutan, amanah dan setia dalam menjalankan tugasan demi keselamatan negara.

Itulah ‘Orang Perang’ atau Senoi Praaq yang sentiasa menunjukkan kepatuhan konsisten tanpa kompromi terhadap prinsip, nilai moral dan etika yang tinggi.

Senoi Praaq merupakan unit dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) terdiri daripada Orang Asli yang memiliki integriti, semangat berpasukan tinggi dan penugasan mereka di kawasan sempadan negara mampu menggerunkan penyeludup.

Perkara ini diakui Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar bahawa pasukan Senoi Praaq ini apabila berdepan dengan penyeludup di sempadan negara, mereka tidak akan memberi muka kepada musuh.

“Sebab itu, kami (PDRM) gunakan kemahiran (Senoi Praaq) ini supaya kita dapat mengekang keadaan penyeludupan negara. Apa yang kami sangat bimbang (adalah) penyeludupan (melibatkan) dadah dan senjata api masuk (ke) Malaysia,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di Bukit Aman, di sini, baru-baru ini.

Katanya, disebabkan ketegasan dan komitmen tinggi anggota Senoi Praaq itu, musuh dan penyeludup sering kali akan berasa ‘panas’.

“Kalau arahan ketua mereka (Senoi Praaq) kata tidak boleh masuk (sempadan negara) maka tidak boleh masuk. Tidak ada ‘deal’ (rasuah) dengan mereka.

Abdul Rahim berkata pasukan Senoi Praaq juga mampu menggalas tanggungjawab atau misi sukar yang diberikan sehingga mengecapi pelbagai kejayaan termasuk melaksanakan pelbagai misi di luar negara.

“Senoi Praaq pernah dihantar ke Sabah untuk menjalankan misi Op Tayang (operasi membanteras lanun dan pendatang tanpa izin) dan Op Taring (operasi membanteras pemburu haram dan penyeludupan hidupan liar).

“Ada juga yang kami tugaskan untuk dua misi pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste iaitu di bawah panji United Nations Mission of Support in East Timor (UNMISET) dan United Nations Integrated Mission in Timor-Leste (UNMIT).

Beliau berkata itulah keunikan pasukan Senoi Praaq berbanding unit lain kerana mereka mampu menggalas sebarang tanggungjawab yang diberikan dan boleh ditugaskan di mana-mana sahaja sama ada dalam dan luar negara.

“Kemahiran mereka ini unik berbanding yang lain. Bukan saya kata batalion lain tidak ada keunikan (tapi) (Senoi Praaq) mempunyai semangat juang tinggi daripada segi kesetiaan dan integritinya. Ini yang uniknya tentang mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata pasukan Senoi Praaq sentiasa memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan negara meskipun objektif asal penubuhan batalion itu adalah untuk menghapuskan pengganas komunis, antaranya membanteras pemburu haram di dalam hutan.

Beliau berkata mereka terlibat dalam membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan dan jenayah hidupan liar di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bersama-sama agensi penguatkuasaan lain antaranya di Johor, Pahang dan Terengganu.

Abdul Rahim berkata kemahiran ilmu hutan seperti mengesan jejak di dalam hutan menjadi faktor pasukan Senoi Praaq terlibat dalam operasi khazanah dan menjadi pasukan pilihan dalam usaha menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR).

Pasukan Senoi Praaq pernah terlibat dalam operasi SAR kes kehilangan Nora Anne Quoirin yang mendapat liputan antabangsa iaitu remaja perempuan warga Ireland dilaporkan hilang ketika bercuti di sebuah resort di Seremban, Negeri Sembilan pada Ogos 2019.

Mereka juga terlibat dalam pelbagai SAR antaranya kes kehilangan pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis, Nur Umaisarah Sameon, ketika menuruni Gunung Tahan, Pahang pada 2009 dan nahas helikopter Nuri yang terhempas di Genting Sepah pada 2007.

Kes tembakan di sempadan: Polis tahan dua penyeludup

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker