Tidak lapor kes positif secara terus, punca jumlah COVID-19 tinggi di Selangor semalam – MB


Gambar fail

30/01/2021 11:48 AM

SHAH ALAM, 30 Jan — Peningkatan mendadak kes COVID-19 di Selangor yang diumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, berpunca daripada kes tertunggak kumulatif daripada saringan pekerja kilang, penjara, klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan hari ini berkata kes kumulatif tersebut dikesan berlaku sejak 10 hari lepas.

“Bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari yang sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA),” menurutnya dalam kenyataan itu.

Amirudin berkata punca peningkatan itu dimaklumkan JKNS pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan COVID-19 Negeri Selangor semalam susulan lonjakan kes harian COVID-19 seperti diumumkan KKM.

Sementara itu, kerajaan negeri akan melaksanakan program ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) di kilang-kilang seluruh negeri yang dikenal pasti sebagai kawasan utama perebakan pandemik berkenaan.

POIS, katanya, akan dilaksanakan dengan kerjasama JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM).

Amirudin berkata kerajaan negeri akan mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan supaya mengambil tindakan tegas dengan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif dalam kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat.

Beliau berkata pihaknya juga bercadang untuk menambah bilangan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) terutama di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak, untuk menganalisis pesakit COVID-19 untuk dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin atau hospital untuk rawatan lanjut.

Selain itu, Amirudin berkata Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang telah ditambah fasiliti dan mampu menampung tambahan 6,000 orang pesakit di mana fasiliti khas seperti khemah unit rawatan rapi (ICU) serta peralatan perubatan turut disediakan.

Beliau menyeru semua rakyat supaya bersama-sama berusaha memutuskan rantaian COVID-19 dengan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kekal konsisten memakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal. Selangor tanggungjawab kita. Hanya dengan semangat kekitaan ini sahaja akan dapat memutuskan rantaian wabak ini,” katanya.

Semalam, negara merekodkan kes positif harian COVID-19 tertinggi iaitu sebanyak 5,725 dengan Selangor mencatatkan kes terbanyak iaitu 3,126 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (687 kes) dan Johor (684 kes).

Calon Timbalan Speaker DUN Selangor dipilih secara konsensus – Amirudin

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker