106 ahli PPK Beluran terima bantuan MAFI Prihatin


Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (tengah) melihat beras yang akan disumbangkan kepada mangsa banjir sewaktu menghadiri majlis Misi MAFI Prihatin di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran hari ini. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hari ini meneruskan Misi MAFI Prihatin ke Sabah bagi meringankan beban penduduk negeri ini yang terjejas akibat banjir khususnya yang membabitkan petani, penternak dan nelayan. — fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

30/01/2021 08:32 PM

BELURAN, 30 Jan — Seramai 106 ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran yang terkesan bencana banjir menerima bantuan sebuah program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dikenali sebagai MAFI Prihatin hari ini.

Menurut menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata mereka merupakan kumpulan pertama menerima manfaat itu di Sabah sejak program itu dilancarkan pada 21 Jan lepas.

“Program ini merupakan usaha bersama pelbagai agensi di bawah MAFI dan Pejabat Parlimen Beluran serta pejabat DUN berkenaan.

Kita akan usahakan pengagihan ke daerah lain (di Sabah) kerana program ini berterusan dan dana juga sedang dikumpulkan agar lebih ramai yang terkesan akan menerima manfaat,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan itu di sini hari ini.

Ahli PPK dari tiga kampung itu iaitu Kampung Pinangkau, Kampung Sungai-Sungai dan Kampung Kelagan Jaya menerima bantuan berupa beras dan bahan makanan kering dengan nilai keseluruhan kira-kira RM23,000.

Selain Lembaga Pertubuhan Peladang, agensi yang menjayakan program di Beluran itu ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran, turut menyampaikan kenderaan pacuan empat roda sempena Program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRE) di bawah Program Peningkatan Mobilisasi dan Logistik Bahan Makanan, kepada PPK Beluran untuk kegunaan di lapangan.

Beliau juga memberitahu kementeriannya sedang menilai laporan kerugian yang dialami masyarakat petani akibat bencana banjir di seluruh negara.

Nafas agih RM5.31 juta zakat babitkan 26,550 penerima di seluruh negara

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker