Penyelia tapak maut kereta dihempap kren


Kredit : Bomba

30/01/2021 06:54 PM

KUANTAN, 30 Jan — Seorang penyelia tapak maut selepas keretanya dihempap sebuah kren yang dipercayai mengalami masalah brek di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Belimbing, Maran kira-kira 60 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata insiden pada 8.45 pagi itu menyebabkan mangsa Mohd Thaariq Asyraf Misbah, 29, dari Masai, Johor, maut di tempat kejadian selepas tersepit di dalam kereta Toyota Corolla yang dipandunya.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kren itu mengelongsor ke belakang akibat brek tidak berfungsi semasa pemandunya yang berusia 48 tahun cuba mengundurkan jentera tersebut di kawasan yang agak bercerun.

“Kren itu kemudian melanggar kereta mangsa menyebabkan kenderaan itu terseret ke dalam longkang, diikuti kren yang kemudian menghempap kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Kamarulzaman berkata kejadian berlaku ketika mangsa yang juga bekerja di situ dikatakan sedang meletak kenderaan tersebut yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat pembinaan.

Pemandu kren yang berasal dari Gelang Patah, Johor dilaporkan tidak cedera.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka, Maran untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PEMANDU REMPUH TAPAK PERNIAGAAN DITAHAN POLIS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker