Sabah longgarkan kemasukan pegawai awam dari Semenanjung


Β© Provided by Berita Harian KOTA KINABALU 19 OKTOBER 2020. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun ketika sidang media khas mengenai perkembangan semasa COVID-19 Negeri Sabah di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu. KHIS/MALAI ROSMAH TUAH.bhnews

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju melonggarkan kemasukan pegawai perkhidmatan awam persekutuan dari Semenanjung yang bertugas di negeri ini tanpa perlu memohon kelulusan khas.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kelonggaran itu juga diberikan kepada tanggungan pegawai terbabit iaitu isteri dan anak.

Beliau berkata, langkah itu bagi memudahkan urusan pegawai terbabit yang sebelum ini terpaksa memohon kebenaran khas daripada kerajaan negeri, berikutan larangan rentas negeri yang dikuatkuasakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Bagaimanapun, katanya pegawai terbabit perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu memiliki Dokumen Perjalanan Terhad (DPT) atau Pasport Antarabangsa Malaysia (PMA) sebelum memasuki negeri ini.

“Mereka perlu menggunakan DPT atau PMA untuk mendapatkan cop Seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di pintu masuk negeri Sabah.

“Selain itu, mereka juga perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti surat perakuan atau surat penempatan dari jabatan untuk berkhidmat di Sabah.

“Bagi tanggungan, hendaklah menunjukkan bukti pertalian dengan pegawai sebelum memasuki Sabah dan mendapatkan cop Seksyen 66(2) Akta Imigresen 1959/63 atau memohon Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang di pejabat Imigresen Sabah dengan serta-merta setelah masuk ke Sabah,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, malam tadi.



Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata kerajaan negeri juga memberi pengecualian sekatan kemasukan kepada diplomat yang layak di bawah Perintah Pengecualian dan tanggungan.

Katanya, bagi diplomat atau staf kedutaan yang belum mempunyai pas atau baru kali pertama masuk, mereka perlu mendapat kelulusan masuk daripada Ketua Pengarah Imigresen terlebih dahulu.

“Selain itu, pengecualian juga diberikan kepada anak kapal bukan sektor minyak dan gas bagi warga negara dan bukan warga negara yang masuk bagi menjalankan aktiviti menyertai kapal.

“Mereka dikehendaki untuk menyertakan dokumen seperti MyKad atau pasport; buku kelasi dan surat jaminan daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah (Bahagian Pelabuhan),” katanya.

Katanya, keterangan lanjut mengenai kelonggaran dan pengecualian itu boleh dirujuk dalam Panduan Kebenaran Masuk Ke Sabah Dari Semenanjung, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan yang disediakan Jabatan Imigresen.

Β© New Straits Times Press (M) Bhd

Tiada pemotongan elektrik bagi pengguna domestik ada tunggakan enam bulan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker