Lukaku tamatkan kemarau, Mbappe tebus kekecewaan

 

Romelu Lukaku menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa gol, Kylian Mbappe menebus kekecewaan Euro 2020 dan Karim Benzema mengekalkan rentak cemerlangnya.

Ketiga-tiga penyerang ini beraksi cemerlang pada aksi separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA di Turin tetapi kemenangan akhirnya berpihak kepada Perancis hasil jaringan penentuan Theo Hernandez.

Pemain sayap AC Milan itu meledak gol pada minit ke-90 untuk melengkapkan kebangkitan juara dunia berkenaan dan menempah tiket ke final bertemu Sepanyol di San Siro pada Ahad.



Ia adalah malam sempurna buat Hernandez yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-24nya, menjaringkan gol antarabangsa pertamanya ketika digandingkan buat julung kali bersama abangnya Lucas.

“Kebangkitan yang menakjubkan. Tidak ramai yang percaya kami mampu melakukannya menentang salah satu pasukan terbaik di dunia tetapi kualiti dan maruah dalam pasukan Perancis ini sangat tinggi,” kata pengendali Perancis Didier Deschamps.

Belgium yang dibarisi generasi pemain berbakat sekali lagi gagal menterjemah kekuatan mereka kepada kejuaraan. Skuad kendalian Roberto Martinez mendahului 2-0 selepas babak pertama, hasil jaringan Yannick Carrasco dan Lukaku.

“Di babak pertama kami bermain dengan tenang. Tetapi kami menjadi emosi, mungkin sudah mula memikirkan tentang final. Generasi ini terdesak memburu trofi untuk negara.

“Anda tidak boleh mengatakan kami kurang kualiti tetapi kami membenarkan Perancis bangkit dan ia amat mengecewakan. Anda boleh rasakan keperitan gol di minit ke-90 dan keputusan yang tidak berpihak kepada kami – VAR amat keras – tetapi ia boleh dielakkan,” kata Martinez.



Perancis mula bangkit apabila trio serangan mereka menyerlah selepas rehat. Benzema merapatkan jurang pada minit ke-62 untuk jaringan ke-11 dirinya musim ini.

Kemudian Antoine Griezmann diputuskan oleh VAR dikasari oleh Youri Tielemans dan Mbappe menyempurnakan sepakan penalti untuk gol penyamaan – tiga bulan selepas dia gagal melakukannya dalam penentuan penalti menentang Switzerland di Euro 2020.

Mbappe, 22, yang beraksi buat kali ke-50 untuk negaranya, merembat penuh yakin menewaskan Thibaut Courtois sebelum Hernandez meledak gol kemenangan di akhir permainan.

Sebelum itu Lukaku berjaya menemui sasaran buat kali kedua tetapi VAR membatalkan jaringannya kerana ofsaid.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker