Wan Junaidi sedia bantu syarikat Sarawak selesaikan isu subsidi upah

30/01/2021 07:26 PM

KUCHING, 30 Jan — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan membantu menyelesaikan isu subsidi upah membabitkan syarikat di Sarawak yang tidak layak menerima subsidi yang ditawarkan menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) itu.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini kerana Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 hanya terbuka kepada majikan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedangkan kebanyakan kawasan di Sarawak kini berada di bawah PKP Bersyarat (PKPB).



Adalah tidak adil untuk menafikan syarikat di Sarawak daripada mendapat manfaat subsidi ini kerana mereka juga terjejas berikutan kemerosotan jualan yang teruk akibat pelaksanaan kawalan pergerakan itu, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebagai seorang anak Sarawak yang memegang jawatan menteri persekutuan, menjadi tugas saya untuk membantu mereka dengan membangkitkan perkara ini kepada pihak yang berkenaan,” katanya yang percaya isu itu merupakan masalah teknikal yang akan dapat diselesaikan dengan baik.

Wan Junaidi turut bertemu dengan wakil daripada Persekutuan Perniagaan Sarawak hari ini berhubung isu berkenaan.

Persekutuan Perniagaan Sarawak menaungi 13 dewan perniagaan yang mewakili kira-kira 10,000 perniagaan berdaftar di negeri itu dan mereka merayu kerajaan agar memperluas PSU 3.0 kepada majikan yang beroperasi di luar kawasan PKP.



96.7 peratus permohonan subsidi upah telah diluluskan – Perkeso

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button