Pasukan Liga-M harap dapat kebenaran untuk berlatih

01/02/2021 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb — Pasukan bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan ‘lampu hijau’ untuk mengadakan sesi latihan dalam masa terdekat.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC K. Devan berkata berdasarkan pengalaman musim lepas, beliau berpandangan semua pasukan sudah matang serta mampu mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN.

Devan berkata selaku pengendali beliau mahu pasukannya berlatih lebih awal untuk memastikan barisan pemain mencapai kecergasan optimum menjelang sepak mula saingan Liga-M 2021 yang telah dianjak daripada 26 Feb kepada 5 Mac depan.

“Kami sempat berlatih bersama selama dua minggu sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) KP dikeluarkan dan buat masa sekarang, pemain sedang cuba mengekalkan tahap yang sudah dibina melalui latihan persendirian di rumah.

“Jika semua pasukan dibenarkan berlatih, ia sudah tentu baik buat pemain untuk meneruskan tahap kecergasan yang telah dibina sebelum ini memandangkan liga kita akan bermula sebulan dari sekarang,” katanya dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Pada masa sama, beliau meminta pasukan turut diberi ruang mengadakan perlawanan persahabatan sebelum saingan Liga-M bermula untuk menguji kecergasan pemain serta kombinasi antara anak buahnya selain memperbaiki taktikal permainan pasukan.

Sementara itu, hasrat sama diluahkan ketua jurulatih Terengganu FC Mohd Nafuzi Zain yang optimis setiap pasukan telah bersedia untuk mematuhi apa jua SOP ditetapkan demi memastikan pasukan dibenarkan mengadakan sesi latihan.

Menurutnya, kebanyakan pasukan memerlukan masa bagi membentuk keserasian sesama pemain.

“TFC banyak mengambil pemain baharu musim ini, jadi sudah tentu latihan secara bersama amat penting bagi mereka boleh memahami corak permainan yang akan saya terapkan selain faktor kecergasan,” tambah beliau.

Selasa lepas, MFL membuat keputusan membatalkan saingan Piala FA manakala sepak mula Liga-M 2021 ditunda ke 5 Mac susulan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak hingga 4 Feb ini.

Kebenaran Skuad Harimau Malaya berlatih melegakan – Pengurus Pasukan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker