QUE HAIDAR LUAH RASA BANGGA BILA NORLIA GHANI JADI PENGHIAS MUKA DEPAN

“KALAU BUKAN KITA YANG DALAM INDUSTRI MENGANGKAT MEREKA, SIAPA LAGI?” demikian kata pelakon Que Haidar yang meluahkan rasa bangga saat melihat pelakon senior, Norlia Ghani diangkat sebagai muka depan Panca Indera menerusi sisipan sebuah akhbar perdana di negara ini.

Dalam entri tersebut yang dimuat naik di laman Instagram, Que berkata, usaha seperti ini harus diperbanyakkan lagi pada masa akan datang demi memastikan sumbangan mereka dalam industri seni tanah air akan terus dihargai terutamanya buat generasi akan datang.

“Assalamualaikum semua, saya agak tertarik untuk menulis sesuatu bila terpandang cover untuk pancaindera hari ini. Saya tersenyum. Rasa bangga, seronok. Tak kisahlah producer ke, pengarah ke, tv station ke, rakan-rakan wartawan ke kita kena bersama-sama.

“Saya suka tengok cover @pancaindera.mm minggu ni, saya rasa perlu diperbanyakkan lagi mengangkat lagenda-lagenda dalam industri kita,” tulis pelakon filem ‘Rock Oo’ itu.

Dalam pada itu, Que turut menyeru agar semua pihak tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan kredibiliti pelakon senior terutamanya bila mereka telah lanjut usia.

Klik untuk gambar besar

Image_2.jpg

“Peranan kita besar dalam memastikan industri kita terus hebat dan mereka-mereka yang hebat terus dihormati dan dihargai. Bukan diperlekehkan bila sudah berusia. Bukan direndah-rendahkan bayaran mereka kerana mereka sudah berumur.

“Bermula dari kita dalam industri bagaimana kita menghargai dan mengangkat mereka, insyaallah khalayak juga akan timbul rasa hormat pada mereka,” ujarnya lagi.

Sementara itu, suami kepada Linda Jasmine itu turut berharap agar impiannya untuk bergandingan bersama Norlia akan kesampaian satu hari nanti.

“Kita boleh bercakap yang kita menghormati dan menghargai mereka tapi semuanya berbalik semula dengan perbuatan kita dan apa yang kita lakukan pada mereka. Tahniah mama @norliaghani dan @pancaindera.mm. Dah lama teringin untuk digandingkan dengan Seniwati sorang ni, Insyaallah suatu hari nanti. Amin,” akhirnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *