Jangan sebar berita tidak sahih – Raja Muda Perlis

ARAU, 10 Ogos — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar rakyat tidak menyebarkan berita tidak sahih susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) di dua kampung di Kuala Sanglang kerana ia hanya akan mencetuskan suasana panik dalam masyarakat.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah semua pihak perlu bersikap rasional dan membuat rujukan maklumat daripada sumber sahih iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu.

“Apabila terlalu banyak ‘khabar angin’ (berita tidak sahih), ia akan menjadi satu beban tambahan kepada Kerajaan bagi meredakan suasana panik dan ia juga akan mengganggu usaha pihak berkuasa menjalankan saringan kepada mereka yang terlibat.

“Adalah lebih wajar sekiranya orang ramai memberikan kerjasama kepada petugas barisan hadapan selain turut membantu penduduk yang berkemungkinan terjejas ekoran pelaksanaan TEMCO,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Raja Muda Perlis berkenan berangkat menghadiri ‘Program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Al-Abrar Kubang Gajah, Arau, yang menyaksikan MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis (JKM) melaksanakan agihan 300 pek bantuan makanan kepada penduduk terjejas susulan pelaksanaan TEMCO di Kampung Tanah Timbul dan Kampung Kuala Sanglang.

Kerajaan Perlis melaksanakan TEMCO selama 28 hari bermula 10 malam tadi di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Sehingga semalam, Perlis mencatatkan jumlah kumulatif 30 kes positif COVID-19 dengan 11 daripadanya merupakan jangkitan daripada Kluster PUI Sivagangga yang bermula di Napoh, Kubang Pasu, Kedah.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker