KENA SERANGAN STROK – ANUAR DAHLAN ALAS PERUT MINUM SUSU GUNA TIUB

Sejak pertengahan Januari lalu, bekas Pengerusi Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) yang juga pemuzik serta komposer, Anuar Dahlan telah diserang strok dan kini dibawah jagaan dua kakaknya di Teluk Intan, Perak.

Anak saudara Anuar iaitu Profesor Madya Khairil Anwar Dean Kamarudin berkata, pakciknya diserang strok ketika mahu berbuka puasa sunat.

“Ibu dan ibu saudara (kedua-duanya kakak kandung Anuar) memaklumkan kejadian berlaku pada 18 Januari lalu. Dia segera dihantar oleh mereka dengan ambulans ke Hospital Teluk Intan sekitar jam 7.30 malam. Doktor mengesahkan pakcik kena serangan strok dan dimasukkan ke dalam wad,” katanya.

Khairil Anwar Dean atau Boodean, pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, Anuar dibenarkan keluar hospital selepas sehari menerima rawatan dan kini tinggal bersama kakaknya di Taman Jaya, Teluk Intan.

“Setakat ini, pakcik masih tak boleh bercakap dan bahagian badan sebelah kiri dari pusat ke atas lumpuh. Manakala bahagian kanan badannya bertambah baik. Tangan kanan sudah dapat digerakkan, namun masih lemah. Daya ingatan pakcik pun masih lemah. Dia belum boleh makan seperti biasa dan hanya mengalas perut dengan meminum susu menggunakan tiub,” jelasnya.

Boodean yang juga seorang pemuzik memberitahu, sementara menunggu rawatan susulan fisioterapi di hospital, kakak Anuar mencari rawatan alternatif melalui urut tradisional.

Anuar pernah bertugas di RTM dan syarikat rakaman BMG serta Ambang Klasik. Dia juga adalah pencipta lagu Zapin Cinta SMS nyanyian duet Senario bersama Adibah Noor.

Leave a Reply