‘Hentikan program Thai Hot Guy, langgar konsep Malaysia MADANI’

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan berteraskan konsep Malaysia MADANI menolak program disifatkan ‘tidak sihat’ yang mempersembahkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand, dijadual diadakan di sebuah kelab di ibu negara pada 30 Mac ini.

Susulan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Wilson Ugak Kumbong, berkata pihaknya meminta program itu tidak diteruskan bagi menjaga keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.

“Kerangka Malaysia MADANI adalah untuk menyelusuri semua rakyat di negara ini dan dengan adanya program begitu, janganlah ia masuk (ke sini).

“Kerajaan kita tiada program seperti dikatakan itu. Kita mohon Malaysia MADANI tidak akan meneruskan program yang tidak sihat (seperti itu) kerana rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.



Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin mengetahui sama ada program menampilkan pelayan lelaki berpakaian wanita yang diiklankan melalui pembukaan rasmi sebuah kelab di Jalan Tun Razak, di sini, sesuai dengan kerangka Malaysia MADANI.

Sebelum ini, tular sebuah gambar di laman sosial, Facebook yang mengiklankan penganjuran acara pembukaan rasmi sebuah kelab dikenali ‘Privacy Club Tun Razak’ di Jalan Tun Razak, di sini pada 30 Mac ini.

Berdasarkan makluman mengenainya di laman media sosial itu, pembukaan rasminya akan dipersembahkan sekumpulan pelayan lelaki berbadan sasa dari Thailand yang berpakaian dalam wanita dikenali sebagai ‘Thai Hot Guy’ sebagai tarikan utama.

Sementara itu, Wilson berkata, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) sedang giat menyediakan draf Manhaj Membangun Malaysia MADANI.



Katanya, ia akan dijadikan rujukan dalam membentuk dasar dan pelan strategi yang lengkap bagi mencapai hasrat kerajaan membela golongan sasar.

“Ia juga bagi memperkasa dan meningkatkan daya saing serta memperkukuhkan lagi daya tahan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang meminta Perdana Menteri menyatakan mekanisme dalam menjadikan konsep MADANI untuk penerapan dalam dasar negara.

Wilson berkata, penggubalan semua dasar kerajaan adalah berdasarkan kepada teras strategik di bawah kerangka Membangun Malaysia MADANI yang mencakupi tiga teras strategi utama.

Katanya, ia turut bersandarkan kepada lima dasar utama iaitu Rancangan Malaysia, Bajet Tahunan, Pelan Antirasuah dan Tata kelola, Maqasid Syariah dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Tiga teras strategi utama Malaysia MADANI ialah yang pertama kemampanan fiskal, memenuhi keperluan ekonomi rakyat, mendepani musibah bencana dan meraih pelaburan berimpak tinggi.

“Bagi teras strategi kedua, ia termasuk pembaharuan sektor awam, memperkasa kerjasama awam-swasta, mengutamakan agenda digital, memperkukuh peranan agensi dan syarikat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, strategi utama Malaysia MADANI bagi teras ketiga pula antaranya adalah menoktahkan miskin tegar, meminimumkan beban sara hidup, menjamin keharmonian dan perpaduan serta menyediakan keperluan asas berkualiti.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker