Peraturan baharu EU mengenai eksport vaksin COVID-19 boleh jejas penghantaran ke Jepun

02/02/2021 05:48 PM

MOSCOW, 2 Feb — Mekanisme baharu diperkenalkan Kesatuan Eropah (EU) yang mewajibkan pengeluar mendapatkan kebenaran untuk mengeksport vaksin COVID-19 dikeluarkan di blok tersebut, boleh menyebabkan penghantaran ke Jepun mengalami kelewatan.

“Bekalan di Jepun tidak dapat dijamin (berikutan kawalan itu),” kata Menteri Taro Kono yang bertanggung jawab untuk program vaksinasi, lapor Agensi Berita Sputnik memetik Kyodo News.

Minggu lalu EU memperkenalkan skim terbaharu kebenaran eksport untuk mengatasi isu pertikaian dengan AstraZeneca.



Syarikat gergasi farmasi United Kingdom-Sweden itu dijangka gagal menghantar vaksinnya ke blok tersebut sebanyak 60 peratus pada suku pertama 2021 kerana masalah pengeluaran di kilangnya di Belgium dan Belanda.

Mengulas kemungkinan kelewatan itu, Kono berkata Jepun menjangkakan menerima semua dos yang dipersetujui mengikut jadual.

“Kami ingin meminta jumlah yang telah dipersetujui dalam kontrak dieksport segera,” kata menteri itu pada sidang media, Selasa.

Jepun dijadual melancarkan program imunisasi COVID-19 besar-besaran pada Februari, bermula dengan pekerja kesihatan. Keseluruhannya, Jepun mempunyai lebih 500 juta tempahan dos vaksin daripada beberapa pengeluar Barat.



Kerajaan Jepun pada Selasa dijangka melanjutkan tempoh darurat COVID-19 di Tokyo dan beberapa kawasan panas lain selama sebulan sehingga 7 Mac.

Lebih 389,000 kes COVID-19 dilaporkan di Jepun sejak ia menular. Negara ini mengalami lonjakan kes baharu pada awal Januari, mendorong kerajaan mengambil langkah-langkah penjarakan sosial lebih ketat.

EU mungkin sekat eksport vaksin Pfizer ke UK

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker