‘Tak payah tanding kalau nak popular’


© Provided by Berita Harian Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam yang juga pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa.zulfaizan

KUALA LUMPUR: Ahli politik yang berhasrat menggunakan jawatan dalam kepimpinan organisasi bola sepak bagi meraih populariti dan kepentingan peribadi disaran tidak bertanding merebut jawatan pada pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bulan depan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa berkata tidak salah sekiranya ada ahli politik mahu memegang jawatan dalam FAM, namun mereka perlu benar-benar profesional dan ingin memajukan bola sepak negara.

“Kalau orang itu boleh menjadi pemudah cara dan membawa organisasi ke tahap lebih baik, bagi saya tiada masalah. Tapi kalau mereka sekadar memegang jawatan, namun tidak dapat menyumbang apa-apa, tak payahlah masuk bertanding.

“Jika hanya nak jawatan dan nama sahaja, itu bukan tempat dia melainkan kalau anda penuh etika dan tanggungjawab serta mempunyai perancangan yang konkrit untuk memajukan bola sepak negara,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi amaran keras kepada ahli politik supaya tidak merosakkan bola sepak negara dengan bertanding merebut jawatan pada pemilihan FAM sempena kongres ke-57 badan induk itu bulan depan.

Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata ahli politik sekarang perlu belajar daripada ahli politik sebelum ini dalam menguruskan pasukan bola sepak dengan lebih baik dan profesional.

“Saya ambil senario yang berlaku di Kedah dan Perak. Sebenarnya yang mencacatkan rekod indah pasukan itu adalah perebutan politik, pertukaran kerajaan yang kerap kali.

“Tapi rekod indah mereka dulu pun dipengaruhi oleh orang politik. Jadi maksudnya orang politik dulu mempunyai lebih etika dari orang politik sekarang.

“Maksudnya ada tanggungjawab, profesional dan dia tidak meninggalkan legasi dengan hutang serta imej yang buruk. Itu yang ahli politik sekarang perlu belajar dari ahli politik lama.

“Mereka yang ingin memegang tampuk kepimpinan dalam pengurusan bola sepak di Malaysia perlu bersedia hidup mati bersama dalam pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

2020 masa ‘rehat’ bola sepak, jana semangat musim depan

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker