CAP nasihat orang ramai berwaspada beli komputer, elak penipuan

04/02/2021 12:47 AM

GEORGE TOWN, 3 Feb — Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati orang ramai untuk berhati-hati, ketika membeli peranti seperti komputer riba atau komputer ketika pandemik COVID-19, bagi mengelakkan berlakunya penipuan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, permintaan tinggi terhadap penggunaan kedua-dua peranti itu untuk keperluan perniagaan dan pembelajaran dalam talian, telah mendorong peningkatan aktiviti penipuan.

Beliau berkata, sekiranya pengguna memilih untuk mendapatkan peralatan terpakai atau yang telah diperbaharui, mereka perlu membelinya daripada sumber yang boleh dipercayai, dengan penjual yang tinggal berdekatan serta mengelakkan melakukan pembelian daripada sumber yang tidak diketahui, di media sosial.

“Sekiranya ada sesuatu yang tidak kena (dengan produk), pengguna dengan mudah dapat menemui penjual itu berbanding penjual yang tinggal jauh. Terdapat kes pembeli membeli barang elektronik dari negeri lain dan mendapati peralatannya rosak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna agar tidak membuat keputusan terburu-buru ketika membeli peralatan yang diperlukan, dan meminta nasihat daripada seseorang yang berpengetahuan dalam bidang berkaitan, sebelum membuat sebarang perjanjian pembelian.

“Penipu atau mereka yang suka mengambil kesempatan menyasarkan orang yang membuat keputusan terburu-buru sebagai mangsanya. Oleh itu, kami sekali lagi mengulangi gesaan kepada pengguna agar lebih berhati-hati, apabila membeli komputer riba atau komputer,” tambahnya.

Leave a Reply