China tingkatkan perlindungan tanah lembab

03/02/2021 07:04 PM

BEIJING, 3 Feb — Sempena Hari Tanah Lembap Sedunia ke-25 yang disambut pada Selasa, pejabat pelaksanaan Konvensyen Ramsar China mengeluarkan kertas putih mengenai usaha perlindungan tanah lembap di negara ini.

Ramsar merujuk kepada konvensyen mengenai tanah lembap yang berkepentingan antarabangsa, terutamanya sebagai habitat unggas air.



Menurut kertas putih itu, jumlah tanah lembap dicatatkan di tanah besar China adalah sebanyak 56 di 21 tempat termasuk daerah, wilayah autonomi dan bandar di bawah pentadbiran langsung kerajaan pusat.

Kertas putih berkenaan turut memaklumkan bahawa kesemua kawasan seluas 3.387 juta hektar atau 48.76 peratus daripada jumlah keseluruhan di dunia mempunyai kepentingan di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, pada 20 Januari lalu, draf undang-undang perlindungan tanah lembap China julung kalinya diserahkan kepada Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China untuk dibahaskan bertujuan menjamin sistem perundangan terhadap perlindungan tanah lembap di negara ini.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung Sekretariat Konvensyen Ramsar Martha Rojas Urrego, turut mengiktiraf usaha melindungi tanah lembap di China.



Menurutnya, kerajaan China aktif melaksanakan Konvensyen Ramsar sejak menganggotai konvensyen tersebut pada 1992 dan bukan sahaja menetapkan lokasi tanah lembap yang berkepentingan antarabangsa, bahkan berperanan sebagai peneraju usaha pembinaan bandar tanah lembap antarabangsa.

Menurut Rancangan Lima Tahun ke-14 pembangunan sosioekonomi China, sistem ekologi akan terus diperbaiki, sementara perlindungan persekitaran sungai dan tanah lembap akan dipertingkat.

Tema sambutan tahun ini, “Tanah Lembap dan Air” dipilih bertujuan memupuk kesedaran peri pentingnya peranan tanah lembap untuk mengekalkan jumlah simpanan dan kualiti air tawar global, serta menggalakkan orang ramai berusaha bersama memelihara dan memulihara tanah lembap.

UAE mahu tingkatkan hubungan dagang, pelaburan dengan Malaysia – Duta



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button