JAS kesan 52 pelanggaran EIA di projek kuari sekitar Manjung


Ops Gempur Kuari Bruas

03/02/2021 11:02 PM

BERUAS, 3 Feb — Sebanyak sembilan kuari dengan enam daripadanya beroperasi di Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang, dikesan melanggar 52 syarat kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dalam Op Gempur Kuari yang dijalankan di sekitar daerah Manjung, sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata selebihnya, projek kuari itu merupakan kuari yang beroperasi di kawasan persendirian di sekitar daerah Manjung.



Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut dalam operasi yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak sehingga hari ini, pihaknya telah mengeluarkan sembilan arahan di lapangan dan 12 notis arahan.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah gagal menyediakan kawalan hakisan dan kelodakan yang berkesan, serta gagal menyediakan sistem tertutup pemindahan batuan.

“Kita juga akan membuka 10 kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan, dan dua projek kuari di kawasan HSK Segari juga diberi perintah berhenti kerja mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya pada sidang media selepas Op Gempur Kuari di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Batu, Pantai Remis di sini hari ini.

Mohd Akmal berkata, dua projek yang dikenakan perintah berhenti kerja itu adalah di kawasan berhampiran lokasi yang terjejas di alur air bermusim di Segari dan Pantai Teluk Akuan, Segari.



“Perintah henti kerja ini kita keluarkan untuk menghalang projek kuari berkenaan daripada terus beroperasi dan dalam tempoh itu, mereka perlu melaksanakan kerja-kerja baik pulih,” katanya.

Katanya selain itu, sebanyak 42 kompaun telah dikeluarkan bernilai keseluruhan RM84,000 atas pelbagai kesalahan.

“Hampir kesemua kuari itu telah beroperasi sejak lebih 20 tahun lepas dan mempunyai kelulusan EIA daripada JAS, namun kita dapati telah berlaku pelanggaran syarat berkenaan,” katanya.

Mohd Akmal berkata Op Kuari itu akan diteruskan bagi memastikan pihak pemaju menjalankan operasi dan kerja-kerja tanah mengikut kehendak perundangan yang telah ditetapkan dan memastikan kepentingan alam sekitar diberi perhatian.

Sementara itu, mengulas mengenai pantai Teluk Akuan yang terjejas akibat aktiviti kuari, beliau berkata hasil siasatan mendapati, berlaku pemendapan kelodak atau sedimen di alur air di kawasan berkenaan.

“Ketika pemeriksaan mendapati air adalah jernih cuma sedimen berlaku di alur air sungai berdekatan dan warnanya juga menunjukkan kesan sedimen,” katanya.

JAS Perak dijangka ambil tindakan terhadap sebuah kilang proses sisa kelapa sawit

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker