BAM lebih arif tentukan masa depan Zii Jia – Rashid


Datuk Rashid Sidek

04/02/2021 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek menyifatkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lebih arif dalam menentukan hala tuju perseorangan utama negara Lee Zii Jia selepas pemain itu mempamerkan aksi hambar sepanjang tiga kejohanan di Thailand.

Bagi Rashid, BAM tidak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan sebaliknya perlu mencari jalan penyelesaian bersama ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, dalam misi kembali meningkatkan reputasi Zii Jia di pentas kompetitif.

“Memang perlu kaji dulu, tidak boleh tiba-tiba nak tukar jurulatih lain. Macam sekarang BAM ada jawatankuasa mereka sendiri iaitu C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan). Saya rasa baik mereka (BAM) sendiri yang tentukan sama ada okey atau tidak jurulatih yang ada sekarang atau (Zii Jia) perlu balik ke (berlatih di bawah) Datuk Misbun Sidek.

“Yang penting kena bawa berbincang dulu sebab Misbun pun masih dalam BAM. Saya rasa BAM sendiri boleh bagi rumusan sama ada perlu ditukar jurulatih ataupun tidak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Rashid berkata demikian mengulas gesaan beberapa pihak terhadap BAM untuk mengambil tindakan drastik termasuk melantik Misbun untuk membimbing semula jaguh perseorangan negara itu dalam usaha mengembalikan prestasinya.

Prestasi buruk Zii Jia dalam tiga kejohanan di Thailand bulan lepas telah menimbulkan pelbagai kritikan terhadapnya, termasuk ada yang mempersoalkan kredibiliti Hendrawan yang seakan tidak memberi impak besar dalam corak permainan pemain itu.

“Kalau nak tukar jurulatih bukannya senang. Jadi buat masa sekarang tumpukan latihan, dapatkan input kenapa Zii Jia tidak menunjukkan prestasi baik (seperti) sebelum ini,” katanya yang turut meminta semua pihak untuk tidak cepat melatah sebaliknya memberi ruang kepada Zii Jia untuk memulihkan prestasinya.

Pada aksi pertama di Yonex Terbuka Thailand, pemain berusia 22 tahun itu tewas pada suku akhir kepada pemain pilihan kedua dari Taiwan, Chou Tien Chen sebelum terkandas seawal pusingan pertama dalam aksi Toyota Terbuka Thailand kepada pemain India, Sameer Verman.

Beliau juga kalah dalam ketiga-tiga perlawanan pada kejohanan badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok dan paling mengecewakan ketika turun beraksi perlawanan kedua peringkat kumpulan, tewas kepada Viktor Axelsen 15-21, 4-21.

Zii Jia dijadual menyertai tiga kejohanan di Eropah bulan depan bermula dengan Terbuka Switzerland, Terbuka Jerman dan Seluruh England.

Jelajah Dunia Akhir: Nasib berbeza buat pemain negara

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker