Bom lama ditemukan di Kolombong, Inanam


ACP Habibi Majinji (Gambar fail)

04/02/2021 07:32 PM

KOTA KINABALU, 4 Feb — Sebutir bom lama ditemukan penduduk di Kampung Mengkadang, Kolombong, Inanam dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata bom itu ditemukan pada 10.30 pagi sebelum penduduk kampung melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis.

“Bom yang ditemui dipercayai masih lagi aktif. Sehubungan itu, sepasukan anggota Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kemudian dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Bom berkenaan kemudian dibawa ke Lapang Sasar PDRM Lok Kawi di sini untuk pelupusan. Proses pemusnahan bom dijalankan dengan baik tanpa sebarang kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata usia serta asal bom itu masih dalam siasatan dan menasihati orang ramai yang menjumpai sebarang objek mencurigakan atau dipercayai bom agar segera melaporkannya ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mengusik, mengalih atau menggerakkan objek berkenaan bagi mengelak perkara tidak diingini,” katanya.

Leave a Reply