Harap kerajaan wujud situasi ‘menang-menang’ untuk Liga-M

05/02/2021 12:55 AM

KUALA LUMPUR, 4 Feb — Kerajaan diharap dapat mewujudkan situasi ‘menang-menang’ dengan pemegang taruh Liga Malaysia (Liga-M) dan industri sukan negara dengan memberi ruang yang sama kepada sektor sukan berjalan seiring dengan sektor ekonomi sepanjang penularan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC Datuk Mohammed Suffian Awang berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mewujudkan situasi itu dalam membuat keputusan berkenaan prosedur operasi standard (SOP), sekali gus membenarkan Liga-M berjalan seperti dirancang.

“Sebagai CEO bertanggungjawab kepada semua pemain yang secara tidak langsung merupakan pekerja, saya juga mengidamkan industri bola sepak dapat berlangsung sepertimana industri-industri lain.

“Kita faham dan sentiasa akan patuhi apa jua hasrat kerajaan namun keresahan ini dapat diatasi jika liga dapat diteruskan dengan suasana SOP yang boleh dipatuhi oleh semua pasukan sebagaimana contoh, ujian calitan secara berkala yang saya lihat kosnya lebih rendah.

“Semua pasukan juga kena bantu kerajaan dalam soal ini, mereka tidak boleh cakap mahu berlatih macam biasa dan pihak kerajaan juga kena dengar apa pandangan dari Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) serta rakan-rakan industri yang lain,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.

Sebelum ini, CEO Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail dan jurulatih berpengalaman Mohd Azraai Khor Abdullah merupakan antara pihak menyuarakan hasrat supaya Liga-M diteruskan kerana sebarang pembatalan akan membawa implikasi buruk kepada semua pihak dan industri bola sepak negara.

Sementara itu, CEO Terengganu FC Ab Rashid Jusoh juga senada dengan Suffian, sambil berharap semua pihak memahami kepentingan industri bola sepak negara yang menjadi satu industri besar yang membina rantaian ekonomi tersendiri secara tidak langsung daripada pihak kelab, penaja, penyokong dan perniagaan.

Ab Rashid berkata banyak perkara boleh dipelajari daripada industri bola sepak Eropah yang masih diteruskan walaupun penularan wabak COVID-19 begitu tinggi, selain mengharapkan perkara sama mampu direalisasikan di Malaysia.

“Jika kita melihatkan di Eropah, kes COVID-19 di negara mereka lebih tinggi berbanding Malaysia namun mereka berjaya menggerakkan liga mereka seperti biasa dengan penambahan SOP yang ketat.

“Perkara yang sama dilihat boleh dilakukan di negara kita dengan syarat-syarat yang perlu dipersetujui bersama di antara MKN atau pihak berwajib bersama FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL,” jelasnya.

Pelaburan tidak wujud: Tiga termasuk ‘Datuk’ ditahan di Kluang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker