Kematian akibat arak beracun meningkat di Bangladesh

04/02/2021 11:17 AM

DHAKA, 4 Feb — Sekurang-kurangnya 16 orang meninggal dunia sejak 31 Januari di pusat komersial Bogra di utara Bangladesh selepas meminum arak mengandungi bahan toksik, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai polis dan media tempatan.

Lapan orang dilaporkan meninggal dunia antara Ahad dan Selasa.



Pegawai di Balai Polis Bogra Sadar, Md Abul Kalam Azad, berkata 11 orang disahkan maut dan jumlah korban dijangka meningkat.

Sembilan yang lain menerima rawatan di hospital di Bogra.

Tiga pekerja Asiatic-360, sebuah agensi komunikasi di Dhaka, meninggal dunia antara Sabtu dan Isnin selepas meminum arak itu pada 28 Januari.

Kira-kira 10 lagi pekerja turut dimasukkan ke hospital.



“Pemilik dan pekerja empat farmasi homeopati di Bogra ditahan kerana disyaki menjual arak mengandungi bahan toksik dan operasi sedang dilancarkan untuk mengesan individu lain yang turut terlibat,” kata pegawai polis itu.

Bulan lalu sekurang-kurangnya 30 orang maut.

“Kami menyedari peningkatan kematian secara tiba-tiba disebabkan arak mengandungi bahan toksik. Kami sedang melancarkan operasi untuk menahan mereka yang terlibat dalam dan sedang menyiasat punca sebenar kematian,” kata pegawai polis Faisal Mahmood.

Katanya, penguatkuasaan terhadap pengimportan alkohol jenama asing dan pengeluaran arak tempatan secara haram antara penyebab peningkatan kematian akibat pengambilan arak beracun.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button