Tiada larangan kenderaan barangan di jalan raya semasa perayaan Tahun Baru Cina


Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Gambar fail)

04/02/2021 08:16 PM

PUTRAJAYA, 4 Feb — Kementerian Pengangkutan tidak akan melaksanakan perintah larangan kepada kenderaan barangan daripada beroperasi di jalan raya dalam tempoh perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Setiap tahun, menurutnya pihak kementerian mengeluarkan perintah larangan kepada kenderaan barangan daripada beroperasi di jalan raya bagi beberapa hari yang ditetapkan ketika perayaan Tahun Baru Cina, yang bertujuan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta mengelakkan berlakunya kesesakan.

“Namun begitu, memandangkan semua negeri kecuali Sarawak masih berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 18 Feb dan PKP Bersyarat (PKPB) di Sarawak adalah sehingga 14 Februari, pihak kementerian tidak akan melaksanakan perintah larangan itu kepada kenderaan berat dalam tempoh sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wee juga berkata tiada halangan pengoperasian dikenakan bagi perkhidmatan perlu sepanjang tempoh PKP termasuk ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.

“Ini selari dengan peraturan sedia ada di sepanjang tempoh PKP dan PKPB termasuk melarang pergerakan rentas negeri dan daerah kecuali bagi sektor kritikal yang telah dibenarkan,” katanya.

“Namun segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu dipatuhi tanpa sebarang kompromi,” tambahnya.

Sementara itu Wee berkata Kementerian Pengangkutan telah mengemas kini Surat Pengesahan Pengoperasian Perkhidmatan Perlu (Essential Services) untuk kegunaan pemain industri pengangkutan dan logistik susulan pelanjutan tempoh PKP di seluruh negara kecuali Sarawak, sehingga 18 Februari.

Beliau berkata pengemaskinian itu dibuat dengan mengambil kira maklum balas serta input daripada para pemain industri pengangkutan dan logistik berkenaan isu di lapangan dan demi kepentingan rakyat.

Pemain industri pengangkutan dan logistik yang telah berdaftar dipelawa memuat turun surat berkenaan melalui Sistem SMILE di pautan https://application.mot.gov.my.

“Kementerian Pengangkutan ingin menegaskan bahawa pemain industri pengangkutan dan logistik bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata tindakan mengkompaun kesalahan selaras dengan Seksyen 25, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] akan dikenakan jika gagal mematuhinya.

Diaspora Cina bantu jalinan ekonomi, diplomasi China dengan dunia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker