BAM letak penuh kepercayaan kepada Hendrawan – Choong Hann


Wong Choong Hann

05/02/2021 05:08 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann menganggap tiada keperluan mengubah struktur kejurulatihan pada masa ini, susulan prestasi hambar perseorangan utama negara Lee Zii Jia pada tiga kejohanan antarabangsa baru-baru ini.



Meskipun berdepan kritikan hebat daripada pelbagai pihak berikutan prestasi mengecewakan Zii Jia sepanjang tiga kejohanan di Thailand, bulan lepas, Choong Hann ternyata enggan menekan butang panik.

Sebaliknya, Choong Hann berkata badan induk itu akan mencari penyelesaian terbaik bagi mengembalikan prestasi sebenar Zii Jia.

Pada masa sama, beliau positif dan meletak sepenuh kepercayaan kepada ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Hendrawan dalam meningkatkan kembali prestasi pemain berusia 22 tahun itu.

“Bukannya saya cakap kita tidak kisah. Maksud saya kita mengakui kesilapan, kita bertekad untuk membuat pembetulan daripada pengalaman ini. Namun, setakat ini, kita masih akan memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih Hendrawan,” katanya kepada Bernama, hari ini.



Prestasi buruk Zii Jia pada tiga kejohanan di Thailand bulan lepas menimbulkan pelbagai kritikan terhadapnya, termasuk ada mempersoal kredibiliti Hendrawan yang seakan tidak memberi impak besar dalam corak permainan pemain itu.

Dalam pada itu, Choong Hann meminta pengkritik dan peminat badminton tanah air memberi ruang dan peluang kepada Zii Jia untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam misi bergelar jaguh dunia.

“(Saya) minta beri ruang sikit (kepada Zii Jia) untuk membetulkan keadaan, memang kekurangan itu sudah berlaku tidak boleh pusingan-u atau mengundur. Saya percaya semua pemain handalan juga pernah melalui proses rintangan ini dalam karier mereka sebelum bergelar jaguh dunia,” katanya.

Pada aksi pertama di Terbuka Thailand Yonex, Zii Jia tewas di suku akhir kepada pemain pilihan kedua dari Taiwan, Chou Tien Chen sebelum terkandas seawal pusingan pertama dalam kempen Terbuka Thailand Toyota kepada pemain India, Sameer Verma.



Zii Jia terus menampilkan aksi hambar apabila kalah ketiga-tiga perlawanan pada Jelajah Dunia Akhir, juga di Bangkok.

Selepas ini, Zii Jia dijadual menyertai tiga kejohanan di Eropah bulan depan bermula dengan Terbuka Switzerland, Terbuka Jerman dan Seluruh England.

Hanya Chia-Soh penuhi jangkaan di Bangkok – Choong Hann



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button