Buruh didakwa rompak lelaki bersenjatakan parang, penyembur pemedih mata

05/02/2021 01:43 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang lelaki dengan bersenjatakan parang dan penyembur pemedih mata, bulan lepas.

Mahadi Ramlan, 43, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompak berkumpulan terhadap S. Yoges, 30, dengan mengambil sebuah motosikal, wang tunai RM350, kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan lesen memandu mangsa.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan bersenjatakan sebilah parang berukuran 30 sentimeter dan penyembur pemedih mata di Jalan Sungai Pusu Batu 8 Gombak di sini, pada 3.10 petang, 27 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahadi yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan dikurangkan jaminan.

Hakim Syafeera Mohd Said membenarkan jaminan seperti yang dikemukakan pendakwaan serta menetapkan 2 Mac untuk sebutan kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Lelaki ditahan ugut cederakan bapa dengan parang

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker