Dasar luar Uzbekistan di bawah Presiden Mirziyoyev tumpukan pengukuhan pragmatik ekonomi

06/02/2021 10:36 AM

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Model baharu dasar luar Uzbekistan di bawah Presiden Shavkat Mirziyoyev meletakkan asasnya kepada keutamaan pembangunan dalaman, menunjukkan peralihan negara yang jelas ke arah kerjasama ekonomi antarabangsa dan pengukuhan pragmatik ekonomi dalam hubungan luar.

Kedutaan Uzbekistan di Malaysia, dalam satu kenyataan berkata berikutan penggunaan pendekatan ini secara aktif, kecekapan kerja meningkat dengan ketara hingga menarik pelaburan asing dan teknologi baharu, meningkatkan aliran pelancong, serta melonjakkan eksport produk negara ke pasaran dunia.

“Dalam tempoh empat tahun terakhir, purata kadar pertumbuhan pelaburan tahunan adalah 22 peratus. Jumlah pelaburan asing mencapai US$26.6 bilion, termasuk pelaburan langsung asing US$17.5 bilion,” katanya.



Sebagai perbandingan, jumlah pelaburan negara tersebut dicatatkan antara 2007 dan 2017.

Menurut kenyataan itu, jumlah pelaburan sepanjang empat tahun terakhir meningkat lebih 2.1 kali ganda, termasuk pelaburan asing sebanyak 2.7 kali ganda.

“Jumlah pelaburan dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2019 melebihi 38 peratus buat julung kalinya, mewujudkan asas kukuh untuk memastikan pertumbuhan ekonomi pada tahun-tahun akan datang,” katanya, sambil menambah KDNK Uzbekistan pada 2019 meningkat sebanyak 5.6 peratus.

Kenyataan itu mengatakan Mirziyoyev memainkan peranan utama kepada enam ciri khas model baharu dasar luar berkenaan. Sejak kemerdekaan Uzbekistan pada 1991, Mirziyoyev menjadi presiden kedua yang dilantik pada 2016 selepas kematian presiden Islam Karimov.



Mirziyoyev, dalam ucapannya kepada Majlis Oliy (Parlimen) dan rakyat Uzbekistan pada 29 Dis 2020, menyatakan perlunya memperbaiki strategi dasar luar negara dan mengguna pakai konsep terkini di wilayah ini.

Beliau juga menekankan pentingnya memastikan konsistensi dasar luar Uzbekistan yang terbuka, proaktif dan konstruktif.

Menurut kenyataan itu, permintaan untuk konseptual dasar luar adalah disebabkan peningkatan transformasi Uzbekistan yang tinggi, dan peralihan ke tahap baharu dalam membentuk undang-undang demokratik dengan ekonomi pasaran yang maju.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa asas era baru Renaissance sedang diletakkan di negara ini, yang memerlukan pendekatan baharu secara kualitatif dalam dasar luar,” katanya.

Kenyataan itu berkata model dasar luar baharu bertujuan mempercepat pembentukan persekitaran luar yang menguntungkan untuk pembangunan mampan dalam negara, promosi kepentingan negara yang berkesan di arena antarabangsa, dan peningkatan daya saing ekonomi secara progresif di pasaran dunia.

Wanita Uzbekistan dipenjara tiga tahun tipu HKL

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker