Myanmar diseru hormati prinsip piagam ASEAN

05/02/2021 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb — Myanmar didesak untuk mematuhi dan menghormati prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN berikutan perkembangan terbaharu di negara itu.

Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan untuk Hak Asasi Manusia (AICHR), dalam satu kenyataan berkata pihaknya menyokong proses pendemokrasian dan perdamaian yang berterusan di Myanmar dan meminta semua pihak untuk menyelesaikan setiap perselisihan melalui mekanisme yang sah dan dialog damai.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Perwakilan AICHR, Yuyun Wahyuningrum (Indonesia), Eric Paulsen (Malaysia), Dr Shashi Jayakumar (Singapura) dan Prof Dr Amara Pongsapich (Thailand).

“Kami sentiasa mengikuti perkembangan peristiwa di Myanmar yang membawa kepada pengisytiharan darurat dan peralihan kuasa kepada tentera selepas pilihan raya umum pada 8 November 2020.

“Kami berharap penyelesaian secara demokrasi dan aman sesuai dengan kehendak dan kepentingan rakyat Myanmar.

“Sebagai anggota ASEAN, kami sangat bimbang dan menggesa Myanmar mematuhi serta menghormati prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN,” kata kenyataan itu.

Mereka turut mengulangi mengenai tujuan dan prinsip Piagam ASEAN, termasuk kepatuhan kepada peraturan undang-undang, pemerintahan yang baik dan prinsip demokrasi dan kerajaan berperlembagaan selain melindungi hak asasi manusia dan menghormati hak kebebasan asasi.

Tentera Myanmar pada pagi Isnin melancarkan rampasan kuasa dan menahan Penasihat Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan anggota kanan lain Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

Tentera mengumumkan darurat setahun di negara itu dan berikrar “mengambil tindakan” terhadap tuduhan penipuan pengundi semasa pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi parti NLD.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *