Kebumikan mayat disimpan hampir 40 tahun


© Provided by Berita Harian Noor Izhamuddin sedia membawa jenazah ke tanah kubur selepas selesai proses mandi dan kafan.
latifah

CABARAN memandikan jenazah tidak dituntut dan mayat disimpan di peti ‘sejuk’ hospital berpuluh tahun dalam keadaan hampir berubah berupa menjadi mumia, berbau dan mereput adalah antara pengalaman dikongsi dua bilal yang menjalankan kerja ‘fardu kifayah’ sebagai pengurus jenazah.

Noor Izhamuddin Razali, 39, dan Mohamad Nur Shafie, 37, yang turut berkhidmat sebagai jurumandi jenazah di hospital kerajaan berkata, mereka bertugas 24 jam sehari seperti petugas perubatan yang perlu sentiasa bersedia atau ‘on call’.

Menyedari keperluan untuk melaksanakan fardu kifayah, khususnya bagi kes jenazah yang tidak dituntut asnaf atau waris kurang berkemampuan, Noor Izhamuddin dan Mohamad Nur mewujudkan Unit Pengurusan Jenazah Malaysia (UPJM) sejak dua tahun lalu di Lembah Klang.



“Terdapat 20 orang sukarelawan di UPJM dan empat daripadanya wanita.

Kebanyakan mereka adalah golongan muda berusia sekitar 20-an dan dilatih untuk memandikan mayat, kafan, solat jenazah, urusan pengebumian di tanah kubur dan turut diajar memimpin bacaan talkin,” kata Noor Izhamuddin ketika ditemu bual di Balai Berita NSTP, baru-baru ini.

Mayat tidak dituntut

Menceritakan mengenai jenazah tidak dituntut, katanya ia banyak membabitkan warga asing, terutama yang masuk ke Malaysia secara tidak sah dan tanpa permit atau gagal memperbaharuinya selepas tamat tempoh.



“Mengikut prosedur hospital, dalam tempoh 14 hari selepas waris atau identiti jenazah tidak dapat dikenal pasti, ia sudah boleh diuruskan pihak lain.

“Bagaimanapun, berlaku kelewatan berikutan perlu melepasi beberapa prosedur yang ketat, antaranya pihak hospital mengambil masa bagi mendapat pengesahan polis, perlu memberitahu pihak kedutaan dan lebih sukar jika si mati tiada dokumen pengenalan diri.

“Dalam kes yang meninggal dunia tanpa identiti, termasuk tidak dijumpai tanda tertentu di tubuhnya yang boleh mengaitkannya dengan agama lain, ia boleh diuruskan sepenuhnya mengikut kaedah Islam,” katanya.

Beliau akui UPJM terpaksa berusaha keras untuk menguruskan jenazah tidak dituntut, terutama membabitkan warga asing yang tiada pengenalan diri, selain berasa ‘berdosa’ kerana mengambil masa panjang untuk menyempurnakannya.

“Bayangkan, kami terpaksa memikirkan cara bagaimana untuk membolehkan mayat itu dikebumikan secepat mungkin dan perlu berulang-alik ke pejabat kedutaan untuk menyelesaikan soal dokumentasi sehingga memperoleh kebenaran untuk ditanam.

“Urusan dokumentasi mengambil masa yang panjang, sedangkan pengurusan jenazah hanya mengambil masa dua jam untuk selesai sepenuhnya,” katanya.

Mayat tersimpan sejak 1982

Berkongsi pengalaman memandikan jenazah tidak dituntut, Noor Izhamudin berkata, pada tahun lalu, mereka ditugaskan menguruskan mayat bayi yang mengikut rekod sudah meninggal dunia dan tersimpan di hospital sejak 1982.

“Keadaan fizikalnya sudah kering dan kecut seperti mumia. Jadi, kami tidak boleh menggosok langsung anggota badannya, sebaliknya hanya melalukan air bersama sabun.

“Jika digosok sebagaimana dilakukan ke atas jenazah biasa, kulitnya akan meluruh dan kelihatan isi badan, disebabkan keadaan fizikalnya yang hampir mereput,” katanya.

Beliau akui pihak hospital memanggil mereka untuk menguruskan segera jenazah bayi berkenaan berikutan wujud gangguan mistik yang berulang dipercayai ada kaitan dengan mayat berkenaan.

“Jenazah bayi ini agak misteri kerana ia tersimpan begitu lama, bahkan sebelum wujudnya hospital berkenaan.

“Kakitangan hospital juga tidak dapat mengesahkan dari mana datangnya mayat berkenaan dan Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, selepas diuruskan, gangguan mistik tidak lagi berlaku di situ,” katanya.

Urus berhati-hati

Noor Izhamuddin yang juga perawat ruqyah di Ikhtiar Rawatan Islam Darul Mukmin, berkata mayat yang tersimpan dalam tempoh lama di dalam peti simpanan mayat hospital perlu diuruskan dengan begitu berhati-hati dan cepat bagi mengelakkan anggota badannya terlerai.

“Mayat yang disimpan dalam tempoh enam bulan hingga setahun biasanya akan ditumbuhi kulat yang menandakan ia akan mereput.

“Selepas dikeluarkan dari peti sejuk, kami hanya ada 10 hingga 15 minit untuk memandikan mayat menggunakan air.

“Kebiasaannya 10 orang sukarelawan kami perlu bergilir-gilir untuk percepatkan proses memandikannya supaya kulitnya tidak terlerai dan terpaksa menahan bau jenazah yang tersimpan dalam jangka masa lama,” katanya.

Mengimbau pengalaman pertama menguruskan jenazah rentung akibat kemalangan jalan raya, Noor Izhamuddin berkata, beliau akui hampir tidak mampu untuk melakukannya kerana bau yang hanyir.

“Kaedah tayamum digunakan ketika menguruskan jenazah yang rentung itu dan ketika itu, cuma saya yang ditemani seorang petugas forensik hospital.

“Saya masuk dan keluar bilik sebanyak tiga kali kerana tidak mampu menahan bau rentung, bayangkan daging kita terbakar dengan darah mengalir.

“Bagaimanapun, saya kuatkan semangat untuk meneruskan tugas itu kerana ketika itu tiada orang lain yang boleh membantu,” katanya yang mengakui fobia dan membuang terus pakaian yang digunakan ketika memandikan mayat itu dan mengelak mengambil makanan yang dibakar dalam tempoh seminggu.

Memandikan jenazah Bomba

Sementara itu, Mohamad Nur turut berkongsi pengalaman UPJM menguruskan jenazah enam penyelam Bomba yang pernah menggemparkan negara pada 2018.

Keenam-enam petugas Bomba itu menemui ajal akibat lemas dalam operasi menyelamat seorang remaja yang tergelincir ketika memancing di lombong di Puchong, Selangor.

“Saya menerima panggilan daripada Ketua Pegawai Operasi Bomba kira-kira jam 11 malam pada hari kejadian dan meminta membantu untuk menguruskan jenazah keenam-enam petugas Bomba itu.

“Saya rasakan pengalaman menguruskan jenazah mereka paling mudah walaupun bilangan mereka ramai. Kami mula memandikan jenazah sekitar jam 2 pagi dan kesemua urusan selesai sebelum Subuh.

“Jika lihat kepada raut wajah kesemua mereka, seakan-akan orang yang masih hidup, muka kemerah-merahan seperti sedang tidur dan tidak seperti mayat mangsa lemas yang kebiasaannya pucat,” katanya.

Peristiwa seram

Beliau turut berdepan pengalaman menyeramkan ketika dihubungi nombor tidak dikenali selepas menguruskan jenazah sepasang suami isteri warga Rohingya yang meninggal dunia kerana membunuh diri.

“Kejadian ini berlaku pada tahun lalu. Disebabkan kematian membabitkan warga asing, jadi urusan dokumentasinya agak rumit, termasuk perlu menghubungi pejabat Kedutaan Myanmar untuk pengesahan.

“Selepas tiga hari kematian mereka, baru kami dapat menguruskan jenazah dan kebetulan pula selesai urusan di tanah kubur sekitar jam 11 malam.

“Ketika di dalam kereta dan ingin pulang, ada satu nombor tidak dikenali pemanggilnya menelefon saya dengan bercakap dalam loghat Utara dan mengucapkan ‘terima kasih kerana menguruskan jenazah kami sehingga selesai’ sebelum memutuskan perbualan,” katanya.

Bagi Mohamad Nur, tiada istilah badi mayat dalam Islam.

“Sepanjang saya menguruskan jenazah, tidak pula terkena badi mayat. Jika rasa lain selepas itu, contohnya seperti hendak demam, bacalah ayat pendinding seperti ayat Kursi dan tiga Kul,” katanya.

Jumlah waris tak mampu urus jenazah meningkat ketika PKP

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu, UPJM mendedahkan berlaku pertambahan bagi kes waris yang tidak mampu menanggung kos pengurusan jenazah.

“Kos semasa bagi pengurusan seorang jenazah dianggarkan sekitar RM1,100, termasuk kos kafan, memandikan mayat sehingga kepada pengebumian,” kata Mohamad Nur.

“Selepas PKP yang pertama, secara purata, kira-kira dua jenazah yang kami tanggung kos keseluruhan pengurusan setiap bulan berikutan ramai waris yang terjejas, termasuk hilang punca pendapatan.

“Ada kes isteri terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suami yang terlantar sakit dan apabila si suami meninggal dunia, keluarga terbabit tiada wang untuk menanggung kos pengurusan jenazah,” katanya.

Beliau berkata, jika berlaku kes sedemikian, sukarelawan UPJM akan menggunakan duit poket sendiri dan wang saguhati disumbangkan oleh waris berkemampuan bagi menampung kos pengurusan jenazah lain.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, muncul trend membimbangkan iaitu bunuh diri dalam kalangan generasi muda beragama Islam yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkaitan.

Perlu dana beli van jenazah

UPJM sangat mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi pembelian van untuk memudahkan urusan logistik jenazah.

“Ketika ini kami pinjam van dari masjid dan surau dan perlu membayar sewa yang ditetapkan.

“Disebabkan itu, kami sedang usaha untuk mendapatkan van sendiri supaya caj kepada waris dapat diminimumkan, sekadar untuk menampung bayaran pemandu, minyak dan tol sahaja,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menginfak, boleh menghubungi Noor Izhamuddin di talian 017-3865358 atau Mohamad Nur di talian 011-28189225.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Banjir: Bomba bantu bawa jenazah ke kubur

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker