Ragbi Malaysia bersedih atas pemergian Cikgu Maniam


Cikgu Maniam (Kredit: Kesatuan Ragbi Malaysia)

06/02/2021 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb — Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bersedih atas pemergian bekas pengadil Asia dan kebangsaan K. Maniam yang terkenal dengan dedikasinya yang sanggup menaiki bas dan keretapi dari Taiping Perak untuk mengadili perlawanan di Lembah Klang.

Dikenali sebgai Cikgu Maniam dalam kalangan peminat ragbi sejak 1970, Maniam, 77, yang menghidapi kanser, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9.20 pagi hari ini, di rumah keluarganya di Brickfields di sini.



Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, Maniam amat sinonim dengan ragbi di Malaysia, kerana beliau mendedikasikan dirinya untuk pembangunan sukan itu di negara ini.

“Satu masa yang sedih untuk KRM dan peminat sukan ini. Beliau seorang pegawai yang lama berkhidmat di peringkat wilayah dan kebangsaan, malah beliau juga pernah mengadili perlawanan yang saya dan pasukan saya bermain pada 1990an.

“Cikgu Maniam juga mempunyai reputasi yang baik pada peringkat antarabangsa, terutamanya pada Ragbi Asia. Beliau berjaya membawa dan mendidik ramai pengadil tempatan kita untuk mengadili perlawanan pada peringkat wilayah,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Perak S. Sevakumar mengingati Maniam sebagai seorang pegawai yang amat berdedikasi, yang bersedia untuk menempuh perjalanan kira-kira 260 kilometer menaiki kenderaan awam untuk mengadili perlawanan di Lembah Klang, ketika beliau mengajar di SMK King Edward VII dan Guru Besar di SJK(T) YMHA di Taiping.



Maniam memulakan kariernya sebagai pengadil pada 1975 dan mengendalikan perlawanan peringkat sekolah, menerima pengiktirafan menjadi pengadil peringkat kebangsaan dan Asia pada 1980 dan telah mengadili perlawanan Piala Asia 1985.

Beliau bersara sebagai pengadil pada 1990 tetapi terus memainkan pelbagai peranan dalam KRM dan Ragbi Asia sehingga ke hujung nyawanya. Antaranya beliau menjadi Pegawai Pengajar Perlawanan, Penilai dan Pesuruhjaya Pemantau.

Atas sumbangannya, Maniam telah menerima anugerah Pengadil Perlawanan ‘Carlson Lin’ Ragbi Asia pada tahun 2014.

Upacara penghormatan terakhir dijangka berlangsung di Palm Court, Brickfields pada 1 tengah hari Ahad dan pembakaran mayat di Cheras Crematorium.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker